JUARA dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menggegarkan gelanggang Terbuka Australia 2025 apabila muncul juara kejohanan Jelajah Dunia Super500, sekali gus menghadiahkan gelaran Jelajah Dunia pertama dalam karier mereka.

Kemenangan manis itu hadir selepas pasangan negara menumpaskan gandingan Indonesia, Jafar Hidayatullah-Felisha Nathaniel Pasaribu, 21-16, 21-11 dalam aksi final yang hanya mengambil masa 42 minit.

Lebih menarik, kejayaan di bumi Australia itu kini menjadi pencetus motivasi terbesar buat mereka menjelang cabaran lebih getir di Sukan SEA Bangkok.

“Kami kekal dengan perancangan dan yakin dengan strategi kami… kami sudah bertemu mereka empat kali tahun ini, jadi kami tahu ia bukan perlawanan mudah, tetapi suasana hari ini dengan sorakan penyokong membuatkan kami lebih bersemangat,” kata Tang Jie kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei perlu menggunakan masa yang ada untuk.menganalisa permainan Dechapol-Supissara andai mahu menang emas di Sukan SEA sekali gus membawa momentum ke Jelajah Dunia Akhir (WTF) selepas itu.

Sorakan gemuruh rakyat Malaysia di arena Quaycentre juga menyuntik aura luar biasa buat mereka, termasuk Ee Wei yang jelas tersentuh melihat Jalur Gemilang berkibar megah di celah penonton.

“Sokongan mereka sangat bermakna kerana ramai rakyat Malaysia datang memberi semangat… kami nampak bendera Malaysia dalam crowd dan itu buat kami sangat gembira, lebih-lebih lagi peminat di tanah air yang tak pernah berhenti menyokong,” kata Ee Wei yang kali terakhir beraksi di pentas kompetitif pada Terbuka Perancis, Oktober lalu.

Pasangan ini turut mengakui gelaran pertama musim ini hadir tepat pada waktunya dan menjadi pembakar keyakinan mereka sebelum turun ke pentas serantau.

Namun di Sukan SEA nanti, bukanlah terlalu mudah buat juara dunia itu menggapai emas dengan kehadiran pasangan tuan rumah, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran yang kini mengungguli ranking nom.1 Jelajah Dunia selepas enam kali menjuarai siri Jelajah Dunia tahun ini.

Ketika ini Dechapol-Supissara berada di ranking ketiga dunia berbanding Tang Jie-Ee Wei keempat selain pasangan Thailand itu mengungguli rekod lima pertemuan menerusi kemenangan 4-1.