PRESTASI baik dipamerkan Goh Soon Huat menjadi faktor kemaraan mudah pasangan profesional negara itu melangkah ke pusingan kedua, Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025.
Soon Huat yang bergandingan dengan isterinya, Shevon Lai menepati sasaran sebagai pilihan keempat kejohanan, dengan mara ke pusingan kedua.
Menurut Shevon, mereka masih mencari rentak pada kejohanan pertama pembuka tirai 2025.
“Ini perlawanan pertama kami jadi memang sedang mencari rentak pertandingan.
“Kemenangan dicapai bukanlah dari permainan semppurna kami, tetapi saya rasa pasangan saya banyak membantu kemenangan ini,” kata Shevon.
Menurutnya, meskipun dapat berehat beberapa minggu selepas berakhir Jelajah Dunia Akhir, pasangan itu berasa hanya mendapat rehat beberapa hari.
“Kami agak bergelut untuk mendapatkan semula momentum, apatah lagi sebagai pemain senior, kami mungkin memerlukan lebih masa untuk membina semula momentum di gelanggang,” katanya,
Pada pusingan pertama beregu campuran hari ini, Soon Huat-Shevon memenangi perlawanan ke atas Presley Smith-Jennie Gai, 21-15, 21-19 dalam masa 36 minit.
Mereka akan berdepan pasangan India, K Satish Kumar-V Aadya di pusingan kedua esok.
PETRONAS Malaysia Open 2025
XD – R32
🇲🇾GOH Soon Huat🏅
21 21 🇲🇾LAI Shevon Jemie🏅
🇺🇸Presley SMITH
15 19 🇺🇸Jennie GAI🕚 in 36 minutes
— BWFScore (@BWFScore) January 8, 2025
Kemaraan Soon Huat-Shevon bermakna, Malaysia memiliki dua wakil dalam acara beregu campuran, di pusingan kedua nanti.
Untuk rekod, Soon Huat-Shevon memiliki dua gelaran musim lalu apabila menjuarai kejohanan bertaraf Super 300 Terbuka Switzerland dan Super 500 Malaysia Masters.
Gandingan itu juga muncul naib juara Super 1,000 Terbuka China selain melangkah ke separuh akhir Jelajah Dunia Akhir.