SANDARAN pingat emas Olimpik Paris negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik gagal menggunakan peluang meraih kejuaraan pertama musim ini, apabila tewas di final Seluruh England.
Berdepan gandingan ketujuh dunia dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dengan bekalan kemenangan pada pertemuan terakhir di Terbuka India tahun lalu, prestasi luar biasa Aaron-Wooi Yik sepanjang kejohanan kali ini bagaikan tumpul tiba-tiba, sehingga mereka tewas straight set 16-21, 16-21 dalam masa 44 minit di Utilita Arena, Birmingham.
Pada set pertama, pasangan negara itu ketinggalan 1-7, 6-11, sebelum menyamakan kedudukan 16-16, namun api kebangkitan mereka dipadam Fajar-Rian yang menamatkan saingan 21-16.

Sekali lagi naib juara… Aaron-Wooi Yik gagal menamatkan kemarau kejuaraan beregu lelaki negara di Seluruh England yang kali terakhir dimenangi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada 2007.
Pada set kedua pula, mereka memberi saingan sengit saling mengejar namun kegarangan Aaron-Wooi Yik sekali lagi terhenti pada angka 16.
Kekalahan dialami beregu nombor lima dunia itu bermakna, mereka hanya mampu mengulangi pencapaian naib juara edisi 2019, ketika mereka tewas kepada gandingan berpengalaman Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan.
Kemarau juara beregu lelaki negara di Seluruh England berterusan kepada 17 tahun, selepas kali terakhir dimenangi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada 2007.
Selaku juara, Fajar-Rian membawa pulang hadiah wang tunai AS$96,200 (RM452,485) manakala Aaron-Wooi Yik terpaksa berpuas hati dengan kemenangan AS$45,500 (RM214,013).