JAGUH beregu lelaki negara, Aaron Chia mahu cuba gandingan scratch pair di Sukan SEA Thailand hujung tahun ini, sebagai senjata baharu menjelang Piala Thomas tahun depan.
Katanya, langkah berani itu penting untuk mencipta kekuatan baharu dan mengelak lawan dari terus membaca corak permainan mereka.
“Saya rasa scratch pair mungkin lagi kuat, sebab boleh jadi kejutan,” katanya yakin ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Aaron Chia tidak kisah digandingkan dengan mana-mana pemain.
Aaron yang pernah menang emas bersama Soh Wooi Yik pada edisi 2019 di Manila, Filipina mengakui cabaran kali ini lebih sengit dan perlukan strategi luar kotak.
“Sukan SEA ini tak bagi mata ranking, jadi masa terbaik nak uji kombinasi baru,” katanya.
Menurutnya, sama ada digandingkan dengan Man Wei Chong atau Tee Kai Wun, dia tetap yakin mampu beraksi cemerlang.
“Siapa pun partner, saya tetap yakin, janji emas untuk Malaysia,” tegasnya.
Aaron menyifatkan percubaan itu bukan suka-suka, sebaliknya ujian penting mencari ramuan terbaik sebelum misi besar di Piala Thomas 2026.