PASANGAN beregu lelaki muda negara, Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian membuktikan mereka memiliki kemahuan tinggi apabila merangkul gelaran ketiga dalam Jelajah Dunia BWF dengan muncul juara Orleans Masters di Perancis, sebentar tadi.
Kejuaraan yang diraih mereka, bagaimanapun tidak hadir dengan mudah, apabila pilihan keempat kejohanan itu dipaksa brekerja keras sebelum mengatasi lawan dari Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi 21-15, 18-21, 21-14 pada aksi final di Palais des sports.
Kejuaraan itu yang pertama buat Haikal-Hon Jian dalam Jelajah Dunia BWF musim ini dan yang ketiga keseluruhan sejak digandingkan pada Ogos tahun lalu.
Mereka sebelum ini turut menjuarai Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi dan Masters Guwahati di India pada Disember tahun lalu.
Haikal pernah melangkah ke final Orleans Masters pada edisi 2022 tetapi bersama Wan Arif Wan Junaidi, namun jangkitan COVID-19 memaksa mereka berpuas hati selaku naib juara.