KETENANGAN Kim Won Ho-Seo Seung Jae membolehkan mereka mempertahan kejuaraan dimenangi tahun lalu, sekaligus menyebabkan kemarau berterusan buat kem beregu lelaki negara di laman sendiri.
Disiplin tinggi dan meminimumkan kesilapan ternyata membuahkan hasil buat gandingan nombor satu dunia itu melebarkan rekod pertemuan kepada 2-1.
“Mereka lebih tenang, terutamanya ketika detik-detik penting perlawanan, dan ketenangan itulah yang membezakan mereka, bukan semata-mata soal pengalaman,” kata Aaron selepas tamat perlawanan.

Pada perlawanan itu, Aaron-Wooi Yik tidak mampu menyaingi disiplin Won Ho-Seung Jae dalam aspek meminimumkan kesilapan ketika jaguh Korea Selatan ampuh bermain sempurna untuk menang 21-15, 21-12, 21-18 dalam tempoh 65 minit.
Walaupun muncul naib juara, Aaron Chia-Wooi Yik bertekad menggunakan pencapaian ini sebagai momentum untuk menghadapi Terbuka India 2026 minggu depan.
“Menjadi finalis dalam kejohanan pertama tahun ini memberi semangat dan momentum untuk kejohanan seterusnya. Kami mengambil langkah demi langkah dan pencapaian ini menunjukkan permulaan yang baik,” kata Aaron Chia.
Dalam masa yang sama, Aaron-Wooi Yik mencipta sejarah selepas menjadi pasangan beregu negara untuk ke final selepas Goh V Shem-Lim Khim Wah mewakili negara serta memenangi edisi 2014.