Malaysian Football League (MFL) secara rasmi menjenamakan semula Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) kepada Liga M Awards, yang akan mula digunakan bagi edisi musim 2025-2026.
Keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL Penggal 2025-2029 yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Ab Ghani Hassan, sebagai usaha memperkukuhkan identiti anugerah yang khusus mengiktiraf kecemerlangan dalam saingan Liga Malaysia.
Menurut MFL, penjenamaan semula itu dibuat bagi membezakan skop penganugerahan daripada ABK sebelum ini yang sering dikaitkan dengan keseluruhan ekosistem bola sepak negara termasuk pasukan kebangsaan, pertandingan peringkat umur dan bola sepak wanita.
Selain nama baharu, Liga M Awards 2025-2026 turut menyaksikan perubahan pada tarikh penganjuran apabila majlis berprestij itu dijadual berlangsung pada Ogos 2026, berbanding amalan sebelum ini yang diadakan sejurus tamat saingan Liga Malaysia.
Langkah tersebut membolehkan Jawatankuasa Pemilih membuat penilaian berdasarkan keseluruhan musim, bermula daripada aksi pembukaan Liga Super sehingga Perlawanan Akhir Piala Malaysia, sekali gus memastikan prestasi pemain dan jurulatih dinilai secara lebih menyeluruh.
Sebelum ini, proses penilaian hanya mengambil kira aksi sehingga perlawanan Liga Super ke-24, menyebabkan beberapa aksi penting pada penghujung musim tidak dimasukkan dalam proses pemilihan.
MFL percaya format baharu itu akan memberikan gambaran lebih tepat terhadap prestasi sebenar pemain, termasuk sumbangan dalam baki saingan Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan MFL Challenge Cup.
Pada edisi pertama Liga M Awards, sebanyak 15 kategori akan dipertandingkan selepas dua kategori berkaitan Piala MFL digugurkan susulan kejohanan tersebut tidak lagi dianjurkan bermula musim 2025-2026.