Switzerland melakar sejarah apabila mara ke suku akhir Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 72 tahun selepas menewaskan Colombia 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi dramatik pusingan 16 terbaik.

Selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sepanjang 120 minit permainan di BC Place, Vancouver, Ruben Vargas muncul wira Switzerland apabila menyempurnakan sepakan penalti terakhir untuk mengesahkan kemaraan pasukannya.

Penjaga gol Gregor Kobel turut memainkan peranan penting apabila menyelamatkan sepakan Cucho Hernandez, manakala percubaan Davinson Sanchez lebih awal sekadar menggegar palang. Walaupun Manuel Akanji gagal menyempurnakan sepakannya, Switzerland tetap berjaya memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.

Vargas mengakui sukar menggambarkan perasaan selepas membantu negaranya mencipta pencapaian bersejarah di pentas Piala Dunia.

“Sukar untuk saya menggambarkan apa yang kami capai hari ini.

“Saya sangat bersyukur dengan detik ini. Selama 120 minit kami memberikan segala-galanya di atas padang. Kami menentang lawan yang kuat, tetapi kini kami sudah mencipta sejarah. Saya gembira dapat menjaringkan penalti kemenangan,” katanya.

Colombia yang memburu kemaraan kedua ke suku akhir selepas edisi 2014 turut memberikan tentangan sengit. Mereka hampir membuka jaringan pada babak pertama menerusi Gustavo Puerta, namun rembatan lencongnya berjaya ditepis Kobel.

Switzerland turut mencipta beberapa peluang berbahaya, termasuk percubaan Fabian Rieder yang dinafikan penjaga gol Camilo Vargas serta rembatan Dan Ndoye pada minit ke-91 yang sekadar melepasi tiang gol.

Dalam masa tambahan, Colombia hampir memecahkan kebuntuan menerusi tandukan Jhon Lucumi yang terkena palang, namun kedua-dua pasukan gagal mencari jaringan sehingga perlawanan ditentukan menerusi penentuan penalti.

Kejayaan itu turut menamatkan badi Switzerland yang sebelum ini sering terkandas di pusingan 16 terbaik pada edisi 2006, 2014, 2018 dan 2022, selain menebus kekecewaan selepas tewas kepada England menerusi penentuan penalti pada suku akhir Euro 2024.

Switzerland kini bakal berdepan juara bertahan, Argentina di suku akhir dalam usaha meneruskan kemaraan bersejarah mereka ke kelompok empat terbaik dunia.