AKSI separuh akhir pertama Piala Cabaran menyaksikan Selangor FC membawa pulang kemenangan tipis 1-0 selepas gol sendiri kapten Penang FC, Rafael Vitor, menjadi penentu di Stadium Bandaraya, Ahad malam.
Perlawanan yang berlangsung sengit ini memperlihatkan Penang FC cuba untuk memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri, namun mereka gagal menembusi pertahanan kukuh Selangor FC.
Kesilapan kecil daripada Rafael pada minit ke-35 memaksa Penang berputih mata dan memberikan Selangor kelebihan menjelang separuh akhir kedua.
Ketua jurulatih Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail, meluahkan pandangannya mengenai persembahan pasukannya.

Rafael Vitor (kiri) menjaringkan gol sendiri yang menyaksikan Penang FC kalah tipis 0-1 | FOTO: Selangorfc
“Alhamdulillah, walaupun keputusan memihak kepada Selangor, secara keseluruhan saya berpuas hati dengan keikhlasan dan komitmen yang diberikan oleh pemain sepanjang 90 minit.
“Namun, kesilapan kecil yang mengundang hukuman ini harus menjadi pengajaran untuk perlawanan seterusnya,” katanya.
Wan Rohaimi turut menyatakan keyakinannya bahawa Penang masih mempunyai peluang untuk bangkit di separuh akhir kedua nanti.
“Keputusan 0-1 ini bukanlah penamat buat kami dan saya percaya, tiada perbezaan besar sama ada bermain di tempat sendiri atau tempat lawan, terutama bagi pasukan underdog seperti Penang,” jelasnya.
Tambah Rohaimi, dia turut mengakui kelemahan pasukannya dalam aspek penyudah apabila gagal menterjemahkan peluang yang dicipta kepada gol.
“Kami mencipta banyak peluang di bahagian tengah, sudut, dan sisi tetapi kami gagal memberi ancaman sebenar kepada gawang Selangor.
“Walaupun saya rasa kami menguasai 60 peratus permainan, ia masih belum cukup untuk mendapatkan kemenangan dan ini adalah sesuatu yang perlu diperbaiki sebelum perlawanan seterusnya.
“Setiap perlawanan bagi Penang sekarang ini ibarat perlawanan akhir, walaupun kita melihat peningkatan dalam corak permainan.
“Tetapi ketiadaan kemenangan masih menghantui dan kami berharap lebih baik pada perlawanan akan datang,” tambahnya.
Separuh akhir kedua akan berlangsung pada 2 Februari di Stadium MBPJ dengan Penang FC kini dalam misi untuk mencipta keajaiban dan mencari kemenangan yang amat diperlukan bagi memastikan tempat di pentas final.