Malaysian Football League (MFL) mengumumkan senarai 10 calon terbaik bagi tujuh kategori utama Liga M Awards 2025-2026 selepas proses saringan melibatkan keseluruhan 408 pemain yang beraksi dalam Liga Malaysia musim ini.

Proses pemilihan dijalankan oleh Jawatankuasa Saringan yang dianggotai wakil Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), penyiar rasmi Liga Malaysia serta ketika itu Ketua Jurulatih B-23 negara, Nafuzi Zain.

Calon-calon akhir meliputi kategori Penjaga Gol Terbaik, Pertahanan Terbaik, Pemain Tengah Terbaik, Penyerang Terbaik, Jurulatih Terbaik, Pemain Import Terbaik dan Pemain Muda Terbaik.

Antara nama yang tersenarai ialah Syihan Hazmi Mohamed, La’Vere Corbin-Ong, Stuart Wilkin, Bergson da Silva dan Christian Abad dari Johor Darul Ta’zim (JDT), selain Faisal Halim, Chrigor Moraes, Nooa Laine dan Kim Pan-gon dari Selangor FC.

Kuching City FC turut mencuri tumpuan menerusi pencalonan Aidil Sharin Sahak sebagai Jurulatih Terbaik, selain beberapa pemain termasuk Haziq Nadzli, Rodney Celvin Akwensivie, Danial Amier Norhisham, Ramadhan Saifullah, Gabriel Nistelrooy, Petrus Shitembi dan Ronald Ngah.

Pemenang bagi kategori utama akan dipilih menerusi undian membabitkan 13 ketua jurulatih, 13 kapten pasukan Liga Malaysia musim 2025-2026 serta 13 wakil media.

Sementara itu, dua kategori iaitu FAN XI dan Gol Terbaik akan ditentukan sepenuhnya menerusi undian penyokong yang akan dibuka di laman sesawang rasmi MFL dalam masa terdekat.

Majlis Liga M Awards 2025-2026 dijangka berlangsung pada Ogos depan bagi mengiktiraf pemain, jurulatih dan pasukan yang menyerlah sepanjang kempen Liga Malaysia musim ini.