DALAM usaha memperkukuhkan mutu bola sepak negara, cadangan menghantar pasukan muda Malaysia untuk beraksi di liga luar negara kembali menarik perhatian.
Langkah ini dilihat sebagai strategi penting bagi memupuk bakat pemain muda sambil mencipta asas kukuh untuk kejayaan pasukan kebangsaan pada masa hadapan.
Pendekatan ini bukanlah perkara baharu. Keberkesanannya telah terbukti menerusi program Harimau Muda A, yang pernah beraksi di Liga Slovakia dan Liga Singapura yang pernah dilaksanakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Pendedahan antarabangsa ini memberi peluang kepada pemain muda untuk bersaing di peringkat lebih tinggi, sekali gus meningkatkan kemahiran teknikal, mental, dan daya saing mereka.

Kegagalan Malaysia di Piala AFF 2024 harus membuka mata ramai pihak.
Kejayaan skuad Harimau Muda turut menyumbang kepada pencapaian besar bola sepak negara, termasuklah Kejuaraan AFF Suzuki Cup 2010 dan pingat emas Sukan SEA 2011.
Bukan itu sahaja, menghantar skuad bawah 19 tahun Malaysia ke liga seperti Liga 2 Thailand atau Liga Singapura dapat membuka peluang baharu untuk pembangunan bakat pemain.
Menurut kaca mata peminat bola sepak Malaysia, Jais Abdul Karim, manfaat daripada pendedahan ini termasuklah para pemain dapat mengasah kemahiran melalui perlawanan kompetitif dengan pasukan yang lebih berkaliber.
“Sudah tentu bermain di liga luar memberi peluang kepada pemain untuk menyesuaikan diri dengan suasana perlawanan antarabangsa, melatih ketahanan mental dan fokus mereka.
“Malah, pendedahan kepada perlawanan berprofil tinggi membantu pemain membina keyakinan diri apabila bersaing dengan pemain bertaraf antarabangsa,” katanya.

Penyerang muda Malaysia, Fergus Tierney terus mewarnai saingan bola sepak Thailand sehingga akhir musim 2024/25.
Ujar Jais, kerjasama dengan syarikat korporat seperti Petronas dan TNB sebagai penaja utama juga boleh membantu memastikan kesinambungan program ini.
“Konsep ini menyerupai penajaan pelajar untuk menimba ilmu di luar negara, tetapi dalam konteks sukan.
“Bagi memastikan keberhasilan program ini, beberapa langkah strategik perlu diambil. Pertama, penubuhan pusat latihan bertaraf antarabangsa dengan negeri seperti Perlis atau Johor boleh dijadikan pangkalan latihan dengan kemudahan canggih untuk pemain muda.
“Selain itu, jalinan hubungan strategik dengan kelab bola sepak dan liga luar negara bagi menyediakan platform kompetitif untuk pemain dan perkara terpenting adalah kerajaan dan syarikat korporat perlu memainkan peranan dalam menyokong inisiatif ini secara kewangan,” katanya lagi.

Malaysia mempunyai pengikut dan peminat bola sepak yang tersendiri.
Tidak dapat disangkal, menghantar pasukan muda Malaysia ke liga luar negara adalah pelaburan jangka panjang yang mampu mengangkat mutu bola sepak negara.
Dengan perancangan rapi, sokongan menyeluruh, dan pendedahan kompetitif, Malaysia berpotensi melahirkan lebih ramai pemain bertaraf dunia.
Langkah ini bukan sahaja membuka peluang baharu kepada generasi muda tetapi juga mengembalikan semangat dan harapan peminat untuk melihat bola sepak Malaysia bersinar di pentas global.
FOTO : FAM