PASUKAN Nepal akhirnya terpaksa akur apabila Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengesahkan aksi Kelayakan Piala Asia menentang Malaysia pada 18 November depan tidak akan berlangsung di laman sendiri, sebaliknya dipindahkan ke Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Keputusan itu dibuat selepas Stadium Dasharat di Kathmandu gagal melepasi piawaian yang ditetapkan AFC walaupun telah menjalani dua kali pemeriksaan rapi. Faktor utama adalah ketidaksediaan kemudahan stadium yang tidak memenuhi syarat minimum sebagai venue antarabangsa.
Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John, menjelaskan hanya venue yang berubah manakala tarikh perlawanan kekal seperti dalam jadual asal. Katanya, keputusan ini tidak dipengaruhi pergolakan dalaman di Nepal, sebaliknya semata-mata kerana kualiti stadium tidak mencapai tahap ditetapkan.
“Kami sudah mendapatkan ketetapan dan telah dimaklumkan perlawanan Nepal-Malaysia akan berlangsung di SNBJ. Kita sudah melakukan dua pemeriksaan di Nepal dan mendapati mereka tidak memenuhi kriteria untuk bertindak sebagai venue perlawanan November ini,” jelasnya.
Perubahan venue ini dilihat memberi kelebihan besar buat skuad Harimau Malaya kerana bakal beraksi di hadapan penyokong sendiri, sekali gus menjadikan suasana ‘away’ bertukar menjadi ‘home’ buat anak buah Peter Clamovski. Ia juga peluang terbaik untuk Malaysia mengutip tiga mata penting dalam misi melayakkan diri ke Piala Asia.
Untuk rekod, Harimau Malaya sebelum ini menewaskan Nepal 2-0 dalam aksi pusingan pertama Kelayakan Piala Asia di Stadium Sultan Ibrahim pada Mac lalu menerusi jaringan Hector Hevel dan Corbin Ong. Keputusan itu melonjakkan semangat pasukan negara dalam saingan kumpulan.
Nepal pastinya berdepan cabaran lebih getir kerana kehilangan kelebihan bermain di laman sendiri. Walaupun begitu, mereka dijangka tetap memberikan tentangan sengit untuk menafikan peluang Malaysia membawa pulang kemenangan.
Kini, semua mata tertumpu ke SNBJ pada 18 November ini, di mana Harimau Malaya berpeluang memanfaatkan faktor sokongan padu penyokong tempatan untuk mengukuhkan kedudukan dalam kumpulan Kelayakan Piala Asia.