PENGENDALI Buriram United, Osmar Loss Vieira mengakui Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal memberi cabaran berbeza apabila kedua-dua pasukan turun berentap dalam aksi pembukaan Liga Timur Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) malam ini di Stadium Buriram.
Vieira yang membimbing Thunder Castle sejak musim lalu menegaskan perbezaan corak permainan antara dua wakil Malaysia iaitu Selangor FC dan JDT cukup ketara. Jika Selangor lebih selesa menunggu peluang untuk melancarkan serangan balas, JDT pula gemar mendominasi bola dan menguasai tempo perlawanan.
“Mereka bermain dalam liga sama tetapi sangat berbeza. Selangor lebih kepada serangan balas, Johor pula lebih kepada dominasi perlawanan. Mereka punya corak menyerang yang bagus dan kita perlu elak daripada terperangkap dengan corak itu,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan.
Vieira menegaskan pasukannya tidak boleh leka, apatah lagi JDT memiliki jentera serangan berbisa yang boleh menghukum jika diberi ruang. Beliau juga menganggap penting untuk Buriram meraih mata sulung di hadapan penyokong sendiri bagi mencetuskan momentum positif dalam saingan elit Asia itu.
“Kita tahu ini perlawanan pertama ACLE dan amat penting untuk mendapatkan mata agar suasana memihak kepada kita,” tambah pengendali berusia 50 tahun itu.
Buriram hadir dengan rekod baik ke atas Harimau Selatan apabila mencatat dua keputusan seri dan satu kemenangan dalam tiga pertemuan terakhir, termasuk menyingkirkan JDT di pusingan 16 ACLE musim lalu. Namun Vieira tetap mengakui pertemuan kali ini berbeza kerana lawan sudah melakukan beberapa perubahan penting dalam skuad mereka.
Kini, semua mata tertumpu ke Stadium Buriram di mana Thunder Castle mahu mempertahankan rekod cemerlang mereka, manakala JDT pula berazam membuktikan taring sebenar di pentas ACLE.