SKUAD kebangsaan mempamerkan persembahan terpuji secara keseluruhan ketika menewaskan Kemboja 4-0 dalam aksi perlawanan persahabatan antarabangsa pada Jumaat namun masih banyak lagi aspek yang perlu diperbaiki menjelang Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022.

Pendapat ini dilontarkan oleh penolong jurulatih Kuching City FC, Sulaiman Hussin yang turut berada di Stadium Nasional Bukit Jalil menyaksikan anak-anak buah Kim Pan Gon menang mudah ke atas lawan serantau itu.

Dia juga mengucapkan tahniah kepada KPG kerana memberikan peluang kepada muka-muka baharu untuk beraksi sekaligus mempunyai banyak pilihan pemain sebagai persediaan ke Piala Asia di Qatar nanti.

“Pertama sekali tahniah kepada KPG kerana memberikan peluang kepada muka-muka baharu untuk beraksi. Ianya bukanlah satu persembahan yang lengkap tetapi kita dapat lihat ada pemain yang bersedia untuk diserapkan ke skuad utama.

“Kemboja tidak mempamerkan mutu permainan yang tinggi dan Faisal Halim adalah perbezaan ketara buat Harimau Malaya kerana dia sentiasa mengancam apabila memegang bola namun jentera tengah dan pertahanan masih perlu diperkemaskan lagi.

“David Rowley dan Stuart Wilkin yang pertama kali menyarung jersi kebangsaan juga masih dalam proses menyesuaikan diri untuk bermain di peringkat antarabangsa kerana apabila bermain di peringkat ini, kita perlukan pemain yang boleh bermain intensiti tinggi.

Sulaiman Hussin

“Brendan Gan dan Mukhairi Ajmal diharap dapat mengisi bahagian ini kerana kita tahu mereka mempunyai ‘work rate’ yang tinggi,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Kejayaan ini meningkatkan keyakinan para pemain dan juga para penyokong bagi menghadapi perlawanan persahabatan kedua bertemu Maldives pada Rabu dengan KPG sekali lagi boleh bereksperimen bagi menentukan siapakah 23 pemain yang bakal membawa cabaran Malaysia ke Piala AFF.