AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membuktikan ketahanan fizikal dan mental luar biasa apabila berjaya menamatkan cabaran Kejuaraan Ironman Dunia 2025 di Nice, Perancis dengan catatan masa 13 jam 4 minit 36 saat.

Dalam kejohanan triatlon paling mencabar dunia itu, beliau menamatkan tiga disiplin utama – renangan sejauh 3.8 kilometer, kayuhan basikal 180km dan larian maraton sejauh 42km di laluan berbukit yang terkenal dengan kesukaran ekstrem. Kejayaan tersebut menempatkan Syed Saddiq di kedudukan ke-1,705 daripada 2,337 peserta keseluruhan, selain menduduki tempat ke-237 dalam kategori lelaki berusia 30 hingga 34 tahun.

Kejayaan itu turut menyerlahkan semangat juang anak muda Malaysia dalam acara bertaraf dunia yang menuntut persiapan rapi, disiplin tinggi serta daya tahan maksimum.

Malaysia tidak hanya bergantung kepada Syed Saddiq semata-mata, malah turut diwakili oleh lapan lagi peserta hebat termasuk Datuk Sri Vincent Tiew, Tengku Ahmad Masrin Tengku Mahmud, Ang Chee Kiang, Gavin Loh, Teoh Teng Ee, Christopher Lim dan Muhamad Azmir Taib yang sama-sama mengibarkan Jalur Gemilang di Nice.

Prestasi Syed Saddiq bukan sekadar catatan peribadi, tetapi menjadi inspirasi buat rakyat Malaysia bahawa dengan kesungguhan, fokus dan keazaman, tiada cabaran yang mustahil untuk ditakluk – walaupun di pentas sukan lasak paling sukar di dunia.