LIGA Bola Sepak Amatur (AFL) menyarankan semua pasukan yang bertanding dalam saingan Liga M3 musim 2023 meletakkan harga siling bagi mengelakkan masalah tunggakan gaji pemain dan pengurusan.

Pengerusi Liga Bola Sepak Amatur (AFL), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan,  pihaknya sangat mengambil berat mengenai kewangan setiap pasukan yang bertanding bagi mengelakkan masalah tunggakan gaji pemain.

“Kita sangat prihatin dengan isu tidak bayar gaji dan selalu pesan dalam perjumpaan bersama pasukan supaya jangan berbelanja di luar kemampuan. Kita juga nasihatkan untuk meletakkan harga siling gaji buat pemain.  

“Kita tidak mahu lagi mereka (pasukan) ambil pemain Liga Super yang sebelum ini mungkin gaji mereka mencecah RM40,000, pun turut dibayar dengan harga sama di Liga M3. Jadi saya sarankan untuk letak RM10,000 pemain,” katanya.

Seramai 14 pasukan sudah mengesahkan penyertaan dalam saingan Liga M3 musim depan iaitu

  1. Armed Forces F.C
  2. Bukit Tambun Football Club
  3. Harini FT
  4. Imigresen Football Club
  5. Kinabalu Jaguar FC
  6. BRM FC Kuala Kangsar
  7. klrovers
  8. Malaysia University
  9. Manjung City FC
  10. Ultimate FC
  11. Perlis United FC
  12. PIB Football Club
  13. Sarawak United FC Official
  14. Melaka Football Club

Manakala dua lagi masih dalam proses semakan kewangan sebelum dimuktamadkan minggu pertama Januari tahun depan.

Kejohanan dijangka bermula Februari 2023 dengan format liga dengan dua pasukan teratas akan bermain dalam saingan Liga Super 2024.