Kredit Gambar: BERTRAND GUAY / AFP
Man Wei Chong-Tee Kai Wun menutup kempen musim ini dengan pencapaian membanggakan apabila muncul juara beregu lelaki Terbuka Hong Kong selepas menewaskan wakil Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin, pada aksi final hari ini.
Beregu negara itu mempamerkan permainan konsisten untuk menundukkan pasangan ranking ke-18 dunia berkenaan menerusi kemenangan straight set 21-19, 21-18 dalam tempoh 39 minit.
Kejayaan tersebut membolehkan Wei Chong-Kai Wun menambah satu lagi trofi dalam koleksi mereka, sekali gus meraih gelaran Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) kelapan sepanjang bergandingan.
Bagaimanapun, laluan menuju kemenangan bukan mudah apabila pasangan negara berdepan tentangan sengit pada set pertama, terutama ketika ketinggalan pada fasa awal permainan.
Kedua-dua beregu saling bertukar mata sebelum Wei Chong-Kai Wun mula mengawal rentak dan melebarkan kelebihan kepada 17-13, namun Leo-Daniel enggan mengalah apabila kembali merapatkan jurang kepada 19-20.
Pasangan Malaysia itu bagaimanapun berjaya mengelakkan tekanan berpanjangan apabila menamatkan set pertama 21-19 untuk membawa kelebihan ke set kedua.
Wei Chong-Kai Wun kemudian tampil lebih meyakinkan pada set kedua apabila mendahului 11-3 ketika interval, sebelum terus mengekalkan momentum bagi memastikan kemenangan 21-18 dan mengesahkan kejuaraan.
Kemenangan itu juga menjadi yang kedua buat pasangan negara dalam tiga pertemuan dengan Leo-Daniel, selain mengukuhkan kedudukan mereka selepas kejayaan menjuarai Terbuka Perancis sebelum ini.
Sebagai juara, Wei Chong-Kai Wun menerima hadiah wang tunai AS$39,500 (RM162,500), manakala pasangan Indonesia berpuas hati dengan hadiah naib juara bernilai AS$19,000 (RM78,200).