Kredit Gambar: Darren Staples/AFP
Malaysia menutup kempen Terbuka Hong Kong dengan penuh gemilang apabila Pearly Tan-M. Thinaah menyusul kejayaan Man Wei Chong-Tee Kai Wun untuk memastikan negara membawa pulang dua gelaran daripada kejohanan berkenaan.
Beregu wanita nombor empat dunia itu mengesahkan kejuaraan selepas menewaskan pasangan Jepun, Sumire Nakade-Miyu Takahashi, yang menghuni ranking ke-11 dunia, 22-20, 21-16 pada aksi final hari ini.
Kemenangan itu bukan sahaja menghadiahkan trofi Terbuka Hong Kong buat Pearly-Thinaah, malah menjadi gelaran Jelajah Dunia ketiga mereka sepanjang musim ini.
Kejayaan di Kai Tak Arena turut membolehkan pasangan negara membalas kekalahan mengejut kepada Nakade-Takahashi pada final Terbuka Taiwan, Ogos lalu, sekali gus menebus kekecewaan terdahulu.
Pearly-Thinaah sebelum ini turut cemerlang apabila menjuarai Masters Indonesia pada Januari dan Terbuka Denmark bulan lalu, menjadikan musim ini antara kempen terbaik mereka di pentas antarabangsa.
Mereka juga mengulangi kejayaan di kejohanan Super 500 itu selepas pernah menjuarai Terbuka Hong Kong pada 2024.
Dalam aksi final beregu lelaki pula, Wei Chong-Kai Wun terlebih dahulu memastikan Malaysia meraih gelaran menerusi kemenangan ke atas pasangan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin.
Kejayaan kedua-dua beregu itu menjadikan Malaysia pulang dengan dua kejuaraan, sekali gus menutup penyertaan di Hong Kong dengan pencapaian membanggakan dalam acara beregu.