AHMAD Jais Baharun dilantik Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) sebagai ketua jurulatih baharu skuad sepak takraw negara.
Pelantikan tekong legenda kebangsaan itu diputuskan Jawatankuasa Pemilihan Pemain dan Jurulatih pada Jumaat.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, nama ketua jurulatih itu diputuskan dalam satu mesyuarat khas semalam, namun pihaknya enggan mengumumkan tujuh lagi nama jurulatih yang dipilih.
“Kita membuat keputusan melantik ketua jurulatih dan jurulatih lain iaitu seramai tujuh orang membabitkan empat lelaki dan tiga wanita dan ia akan diumumkan pada minggu depan,” kata Abdul Halim.

Ahmad Jais Baharun dipilih Ketua Jurulatih Sepak Takraw Kebangsaan.
Beliau berkata, pelantikan Ahmad Jais dibuat berdasarkan merit dan pengalaman luas selain pernah membimbing Johor sehingga muncul juara Kejohanan Kebangsaan Piala Emas Khir Johari, Disember lalu.
“Berpandukan merit dan pengalaman, perkembangan kemajuan pasukan yang dilatihnya sebelum ini. Beliau bekas pemain kebangsaan dan itu juga membolehkannya menjadi salah seorang calon dan namanya diketengahkan. Kami bersetuju untuk melantik Ahmad Jais,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Datuk Abdul Halim Suleiman mengumumkan 7 jurulatih dipilih.
Sebelum ini, nama tekong pemenang pingat emas Sukan Asia Hiroshima 1994, itu disebut-sebut bakal memegang jawatan sebagai ketua jurulatih baharu.
Abdul Halim dalam pada itu memberitahu, PSM akan melakukan pemilihan pemain sepak takraw lelaki kebangsaan dalam masa terdekat dengan memanggil 37 atlet yang sudah berada dalam radar mereka.
“Daripada jumlah itu, kita akan senarai pendek kepada 25 orang saja dan mereka akan menjalani latihan skuad kebangsaan bagi persiapan ke Sukan Sea 2023 di Kemboja dan Sukan Asia di China,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN : PSM belum putuskan ketua jurulatih Takraw, barisan pemain ke Sukan SEA Kemboja