JURULATIH hoki dalam dewan lelaki negara, Amin Rahim, mengisytiharkan misi besar, kembalikan maruah dan emas Sukan SEA di Bangkok hujung tahun ini.
“Kita datang bukan sekadar bertanding, tapi untuk tebus maruah yang tercalar di Kemboja, dan buktikan Malaysia masih raja hoki dewan Asia Tenggara,” tegasnya lantang, pada sesi latihan di UTC, Sentul.
Skuad hoki dalam dewan lelaki dan wanita menerima kunjungan Timbalan Ketua Kontinjen (DCDM), Jovan Mohan malam tadi.
Sementara itu, Amin yang dua kali membawa emas (2017, 2019) menganggap kekalahan 2023 kepada Indonesia sebagai ‘tamparan paling pedih’ dalam kariernya.

Timbalan CDM Sukan SEA 2025, Jivan Mohan menyuntik kata-kata semangat kepada pemain lelaki dan wanita hoki dalam dewan.
“Kali ini biar Indonesia jadi pilihan, kita selesa jadi underdog, tapi underdog bukan bererti tunduk,” katanya, penuh keyakinan ditambah dengan reputasi skuad negara yang beraksi di Piala Dunia, sebelum ini.
Dengan 80 peratus pemain lama masih kekal, skuadnya kini rancak memantapkan set play, taktikal dan kemahiran individu menjelang aksi panas di Bangkok.
Pasukan juga dijangka terbang ke Eropah bulan depan bagi menguji kekuatan menentang kelab dan negara luar sebelum turun ke gelanggang sebenar.
“Main tanpa lawan ibarat latihan kosong, kita mahu tahu di mana titik lemah dan kuat sebelum ke Sukan SEA,” katanya.