RENTAK Malaysian Tigers bakal dihidangkan kepada India apabila skuad hoki lelaki negara berdepan pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Pro FIH itu, pada perlawanan ketiga Trofi Juara-Juara Asia 2023 yang sedang berlangsung di Chennai, India.

Selepas dua perlawanan, skuad negara memimpin carta round robin dengan enam mata diikuti India dan Korea Selatan yang berkongsi empat mata.

Perlawanan menentang India amat penting kepada skuad A.Arulselvaraj kerana sedar skuad lawan sentiasa mahu mencapai kemenangan dalam setiap perlawanan dan tidak pernah menganggap perlawanan sebagai satu eksperimen.

Pemain negara meraikan jaringan ketika menentang China. Pix AHF/Hockey India

“Kita tahu India beraksi di Pro League dan pasukan-pasukan di Pro League sedang melonjak ketika ini.

“Rehat sehari (hari ini), kita akan gunakan untuk menyediakan corak permainan dan yang pasti kita nak main cara kita.

Pertahanan India tidak sekebal mana dan China telah membuktikannya apabila dua kali berjaya membolosi gawang tuan rumah.-Pix AHF

“Saya sudah beritahu pemain, kita tak akan tukar rentak ikut rentak India, kita akan main rentak Malaysian Tigers,” kata Arul.

Beliau berkata, pemain diberi rehat dan tidak turun jalani latihan, “Kita akan benarkan pemain keluar untuk menenangkan fikiran dan emosi sebelum perlawanan penting itu.

Barisan pertahanan dituntut lebih komited ketika berdepan India yang menjaringkan 7 gol menerusi pukulan sudut penalti pada perlawanan pertama mereka, ketika menentang China dalam kempen Trofi Juara-Juara Asia 2023. -Pix AHF/Hockey India

“Pasukan perubatan akan memantau dan menguruskan soal conditioning.”

Pada perlawanan pertama, skuad negara mencapai kemenangan 3-1 ke atas Pakistan, manakala menang 5-1 ke atas China, pada perlawanan kedua pada Jumaat.

Jepun menunjukkan kepada skuad negara bagaimana mereka mengekang kehebatan India yang beraksi dalam saingan Liga Pro FIH. -Pix AHF

India pula membelasah China 7-2 pada perlawanan pertama namun diikat Jepun 1-1 semalam.

Skuad Arul perlu sekurang-kurangnya ke final Trofi Juara-Juara Asia sekiranya berhasrat mencuri slot Olimpiik Paris dengan memenangi pingat emas di temasya Sukan Asia Hanzhou 2022, September nanti.