Tenaga Nasional Berhad terus memperkukuhkan komitmen terhadap pembangunan hoki negara apabila meneruskan kerjasama strategik bersama Malaysia Hockey Confederation (MHC) bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Perjanjian penajaan baharu itu dimeterai dalam satu majlis di Bangsar sekali gus melanjutkan kerjasama jangka panjang yang sudah terjalin sejak tahun 2006.
Kerjasama tersebut dilihat sebagai usaha berterusan dalam memperkukuh pembangunan hoki negara secara menyeluruh merangkumi pembangunan akar umbi, liga domestik serta pasukan kebangsaan.
Majlis menandatangani kontrak berkenaan turut disaksikan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari bersama kepimpinan TNB, MHC, Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Ts Shamsul Ahmad berkata sokongan terhadap hoki negara bukan sekadar tajaan korporat, sebaliknya pelaburan jangka panjang untuk pembangunan belia serta masa depan sukan negara.
Menurut beliau, TNB percaya sukan memainkan peranan penting dalam membentuk disiplin, semangat berpasukan dan jati diri generasi muda.
Sepanjang hampir dua dekad kerjasama bersama MHC, TNB sudah menyalurkan lebih RM60 juta bagi menyokong pelbagai inisiatif pembangunan hoki negara termasuk pembangunan pemain remaja, liga domestik serta persiapan pasukan kebangsaan.
Bagi tahun 2025 sahaja, jumlah tajaan disalurkan mencecah lebih RM7.6 juta melibatkan pelbagai program pembangunan hoki termasuk kejohanan antarabangsa dan latihan pemain muda.
Presiden MHC, Dato’ Sri Subahan Kamal pula menyifatkan sokongan konsisten TNB sebagai antara faktor penting dalam memperkukuh ekosistem hoki Malaysia sepanjang ini.
Antara program utama hasil kerjasama tersebut ialah TNB Thunderbolts yang berjaya melahirkan lebih 100 pemain hoki kebangsaan dan senior negara.
Selain itu, program Sekolah Angkat Hoki TNB kini melibatkan tujuh sekolah di seluruh negara termasuk Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail dan Sekolah Sukan Bukit Jalil.
Menerusi program berkenaan, pelajar menerima bantuan peralatan, latihan berstruktur serta pendedahan kepada pertandingan kompetitif bagi memperkukuh pembangunan prestasi mereka.
Sumber Gambar: FB Taufiq Johari