SELEPAS ditolak untuk menggunakan Stadium Darul Aman (SDA) di Alor Setar sebagai gelanggang rasmi, khabar angin mula bertiup kencang bahawa Imigresen FC mungkin akan memilih Stadium Tuanku Syed Putra (STSP) di Kangar sebagai laman sendiri bagi saingan Liga Super musim 2025/26.

Perkembangan ini muncul susulan kenyataan tegas Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini yang menegaskan SDA hanya akan digunakan oleh pasukan dari Kedah, manakala pasukan luar negeri seperti Imigresen FC dinasihatkan mencari alternatif lain  termasuk ke Pulau Pinang.

Namun, difahamkan terdapat perbincangan awal bagi menjadikan STSP sebagai ‘home ground’ baharu Imigresen FC, sekali gus membawa aksi Liga Super kembali ke bumi Perlis selepas lebih sedekad menyepi.

STSP yang berkapasiti kira-kira 20,000 tempat duduk pernah menjadi gelanggang utama Perlis FA dan kini berpotensi menjadi lokasi tumpuan baharu bola sepak elit Malaysia, sekiranya cadangan ini direalisasikan.

Setakat ini, belum ada pengesahan rasmi daripada pihak pengurusan Imigresen FC mahupun kerajaan negeri Perlis, namun ura-ura itu kian hangat dibincangkan dalam kalangan pemerhati dan peminat bola tempatan.

Sekiranya benar, ia bukan sahaja memberi peluang STSP kembali meriah dengan saingan liga utama, malah mampu mengangkat semula landskap bola sepak di utara tanah air yang sekian lama sunyi daripada pentas tertinggi.

Segalanya kini tertakluk kepada keputusan akhir pengurusan Imigresen FC dan kelulusan daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebelum pendaftaran rasmi gelanggang dibuat.