SAMBUTAN luar biasa dijangka bagi perlawanan separuh akhir Unifi Piala Malaysia antara Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang akan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Jumaat ini.
Dalam memastikan kelancaran dan keselamatan, pihak pengurusan TFC bersama pihak keselamatan telah mengadakan mesyuarat khusus bagi meneliti aspek kawalan penyokong, terutamanya di pintu masuk stadium.
Langkah ini diambil susulan insiden kepadatan luar biasa yang berlaku sebelum ini, seperti RUMBU 3.0 ketika separuh akhir Piala FA menentang Selangor FC.
Kejadian tersebut menyaksikan kehadiran penyokong melebihi kapasiti stadium, menyebabkan ramai penyokong bertiket gagal mendapatkan tempat duduk yang sepatutnya.
“Antara perkara yang diutamakan adalah berkenaan bilangan tiket yang dijual serta kaedah kawalan kemasukan penyokong dengan pemeriksaan di pintu masuk perlu diperketatkan.
“Ianya bagi mengelakkan ada golongan yang tidak bertanggungjawab yang menggunakan tiket palsu, ada yang berjaya masuk secara haram, dan lain-lain cara yang dilihat meningkatkan bilangan penyokong yang berada di dalam stadium pada perlawanan besar seperti ini dan menyebabkan ramai penyokong bertiket tidak mendapat tempat duduk.
“Pihak pengurusan juga bercadang untuk menempatkan pemerhati untuk memantau setiap pintu masuk stadium agar kesemua petugas melaksanakan tugas dengan baik dan mengikut peraturan yang telah ditetapkan,” menurut kenyataan TFC pada Rabu.
Dalam usaha menyemarakkan sokongan, TFC turut melancarkan kempen khas bertema RUMBU 5.0. Kempen ini bertujuan menggalakkan kehadiran penyokong untuk memenuhi stadium dengan pelbagai aktiviti menarik yang dijadualkan.
Pihak pengurusan TFC menyeru semua penyokong untuk hadir lebih awal bagi mengelakkan kesesakan dan mematuhi arahan petugas keselamatan.
Sokongan padu penyokong diharapkan dapat memberikan motivasi tambahan kepada skuad TFC dalam misi merebut tempat ke perlawanan akhir.
“Dengan kerjasama semua pihak, kami yakin perlawanan kali ini dapat berlangsung dalam suasana yang meriah dan selamat,” katanya lagi.