Select Page

Aksi Sel vs JDT esok, “Hadiah kepada penyokong”

Aksi Sel vs JDT esok, “Hadiah kepada penyokong”

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon menjangkakan aksi Selangor FC bertemu Johor Darul Ta’zim FC bakal menjadi satu pertembungan yang sangat menarik untuk disaksikan rakyat Malaysia.

Lebih penting, Dr. Johan menyifatkan perlawanan ini adalah sebuah hadiah kepada penyokong untuk menyaksikan kualiti bola sepak pada tahap tertinggi.

“Saya jangkakan ia akan menjadi satu perlawanan yang sangat mengujakan. Perlawanan yang sangat menarik sebab kita tahu Johor adalah sebuah pasukan yang suka menyerang.

“Jenis corak permainan Tan Cheng Hoe juga adalah menyerang. Banyak peluang yang akan dicipta dan banyak gol akan dijaringkan.

PETALING JAYA, 3 Sept — Pemain Johor Darul Ta’zim Bergson Gustavo Silveira Da Silva (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan sewaktu menentang pasukan Selangor FC pada perlawanan bola sepak Liga Super Malaysia 2022 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam ini.
Keputusan penuh perlawanan Selangor FC 1-1 Johor Darul Ta’zim.
–fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Bagi saya, paling penting semua penyokong dapat menikmati kualiti bola sepak bertaraf tinggi, kalah menang itu adat permainan, tapi yang penting saya rasa pasukan Selangor akan berikan yang terbaik buat semua penyokong-penyokong. Ia akan jadi suatu perlawanan menarik,” jelasnya.

Sementara itu, dia turut berkongsi pandangan tentang kualiti yang dimiliki Ketua Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe sejak mengambil alih pasukan dalam keadaan yang kucar-kacir di bawah pengendali sebelumnya, Michael Feichtenbeiner musim lalu.

Mengimbau kejayaan Selangor FC berjaya melangkah ke final Piala Malaysia musim lalu biarpun bergelut dengan prestasi, Dr. Johan menyifatkan pujian tersebut perlu diberi kepada Tan Cheng Hoe kerana bijak mengatur strategi agar Gergasi Merah kembali digeruni.

Bersandarkan prestasi semasa Gergasi Merah, dia yakin Tan Cheng Hoe akan melakar lebih kegemilangan demi kegemilangan buat pasukan Selangor FC pada musim ini.

“Saya rasa Tan Cheng Hoe seorang jurulatih berpengalaman. Kita lihat apabila coach Tan Cheng Hoe mula mula masuk pada Ogos tahun lepas, kita lihat kita masih berjaya masuk final Piala Malaysia.

“Untuk kita masuk ke Piala Malaysia dan memberi persembahan yang baik bersama JDT adalah sangat baik. Saya tidak hairan kerana saya lihat pasukan juga semakin baik dari hari ke hari. Saya percaya dan yakin Tan Cheng Hoe akan bawa Selangor jauh pada tahun ini,” katanya.

Video Terkini

Loading...