Kerajaan bersetuju dengan cadangan menganjurkan satu lagi temasya sukan kebangsaan sebagai platform tambahan untuk pembangunan atlet, khususnya bagi merapatkan jurang selepas Sukan Malaysia (SUKMA) yang memberi tumpuan kepada atlet bawah usia 21 tahun.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan (JKPS) Keenam Bilangan 1 Tahun 2026 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataannya memaklumkan mesyuarat itu turut bersetuju melaksanakan Pelan Bakat Sukan Kebangsaan (MyTP) bagi mewujudkan sistem pembangunan bakat yang lebih tersusun, menyeluruh dan berkesinambungan.

“Mesyuarat mengambil maklum status Program Pembangunan Bakat bagi Lapan Disiplin Bukan Sukan Teras dan pelaporan pelaksanaan Program Badan Beruniform, sebagai sebahagian daripada usaha memperluas peluang penyertaan dan pembangunan bakat,” menurut kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Dalam perkembangan lain, cadangan membawa perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Qatar ke Litar Antarabangsa Sepang turut menjadi antara perkara yang dibincangkan, termasuk potensi kerjasama penganjurannya. Bagaimanapun, cadangan berkenaan masih berada pada peringkat perancangan.

Mesyuarat JKPS turut memberi perhatian kepada pembangunan sukan elektronik (e-sukan), khususnya dalam aspek pencarian bakat, latihan dan peluang menyertai kejohanan bagi memastikan atlet negara dalam bidang itu dapat dibangunkan secara lebih sistematik dan kompetitif.

Bagi acara berbasikal berprestij negara, cadangan penubuhan Jawatankuasa Khas turut dibincangkan bagi menilai semula hala tuju serta model penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL). Penilaian itu akan merangkumi aspek tadbir urus, pembiayaan, keberkesanan penganjuran, kerjasama strategik serta kesan terhadap ekonomi dan sektor pelancongan.

Selain itu, JKPS turut meneliti cadangan menetapkan 20 jenis sukan teras sebagai keutamaan pembangunan sukan negara. Langkah itu bertujuan memastikan usaha mengenal pasti bakat, penyediaan kemudahan, pembangunan jurulatih dan pengagihan sumber dapat dilaksanakan berdasarkan keutamaan serta potensi setiap sukan.

Dalam usaha memperluas penyertaan murid dalam sukan tempur, mesyuarat turut membincangkan keperluan mengklasifikasikan disiplin berkenaan di peringkat sekolah. Antara aspek yang diberi perhatian ialah kesesuaian umur, perkembangan fizikal murid, kelayakan jurulatih, peraturan pertandingan dan pengurusan risiko kecederaan.

Pada masa sama, penyelarasan pembangunan sukan olahraga dan renang dalam ekosistem Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) turut dibangkitkan bagi memastikan kesinambungan pembangunan atlet dari peringkat sekolah ke institusi pengajian tinggi sebelum melangkah ke pentas kebangsaan. Usaha itu memerlukan kerjasama KPT, KBS dan badan sukan berkaitan dalam aspek latihan, kemudahan, kejurulatihan serta penganjuran pertandingan.

Satu lagi perkara yang diberi perhatian ialah cadangan menyemak semula kadar hadiah kemenangan dan ganjaran kepada atlet, termasuk kemungkinan menyediakan insentif tambahan bagi kejayaan di peringkat antarabangsa. Menurut KBS, pendekatan itu penting sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian atlet, selain meningkatkan motivasi dan menjaga kebajikan mereka.