Ketua jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon menegaskan anak buahnya perlu memberikan segala-galanya dalam aksi separuh akhir kedua malam ini bagi memastikan tempat ke final Piala FA 2026 menjadi milik Gergasi Merah.

Pengendali dari Korea Selatan itu berkata, mara ke pentas final sememangnya menjadi sasaran utama pasukan sejak awal musim, sekali gus menjadikan pertemuan menentang Kuching City FC sebagai antara tugasan penting yang perlu diselesaikan.

Menurut Pan-gon, kejayaan melangkah ke final bukan sahaja mampu menghadiahkan kegembiraan kepada penyokong, malah berpotensi menyuntik motivasi tambahan buat pasukan untuk meneruskan prestasi positif sepanjang musim ini.

“Kita sudah memiliki sasaran jelas. Malah, sejak pramusim, kita telah menetapkan tiket final Piala FA sebagai sasaran kita,” katanya.

Beliau turut menuntut pemain supaya turun dengan mentaliti berani dan penuh keyakinan, selain tidak mudah mengalah ketika berdepan tekanan dalam perlawanan penting itu.

“Semua orang tahu betapa pentingnya perkara ini kepada kita dan betapa besar maknanya buat penyokong kita. Jadi, kita akan berjuang untuk mendapatkannya.

“Kita perlu lebih berani, yakin dan bangga. Kita tidak sepatutnya berundur, kita patut berdiri teguh dan terus mara ke depan. Kita akan berjuang untuk menjaringkan gol, menang dan mendapatkan keputusan terbaik buat penyokong kita,” katanya.

Selangor membawa bekalan kelebihan satu gol ke perlawanan timbal balik selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Kuching City dalam aksi separuh akhir pertama.

Bagaimanapun, keputusan itu belum menjamin laluan mudah buat Gergasi Merah apabila mereka perlu sekali lagi berdepan cabaran The Cats di Kuching dalam usaha mengesahkan kemaraan ke final.

Dengan sasaran yang sudah ditetapkan sejak pramusim, Selangor kini perlu membuktikan kemampuan mereka di atas padang untuk merealisasikan impian beraksi dalam perlawanan akhir Piala FA 2026.