Kelab La Liga, Deportivo Alavés, mengesahkan bahawa Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) telah memberikan pelepasan sementara kepada Facundo Garcés, sekali gus membolehkan pemain pertahanan itu kembali menjalani aktiviti bola sepak sementara proses rayuannya masih berlangsung.

Dalam satu kenyataan rasmi, kelab dari Sepanyol itu memaklumkan CAS telah menerima permohonan Garcés bagi menangguhkan sementara hukuman penggantungan yang dikenakan terhadapnya oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa, sementara rayuan penuh terhadap keputusan tersebut dinilai.

Kes berkenaan membabitkan hukuman penggantungan selama 12 bulan yang dikenakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA pada 25 September 2025, sebelum keputusan itu dikekalkan oleh Jawatankuasa Rayuan FIFA pada 3 November 2025.

Menurut ketetapan CAS, pelaksanaan penggantungan yang melibatkan semua aktiviti berkaitan bola sepak itu digantung buat sementara waktu, bermakna hukuman tersebut tidak akan dikuatkuasakan sepanjang tempoh semakan merit rayuan dilakukan.

“Dalam tempoh interim ini, Garcés dibenarkan meneruskan aktiviti profesionalnya seperti biasa. Sehubungan itu, Deportivo Alavés mengesahkan pemain berkenaan akan kembali menyertai sesi latihan pasukan dengan serta-merta,” menurut kenyataan kelab.

Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut mengesahkan bahawa tujuh pemain kebangsaan yang dikenakan penggantungan 12 bulan oleh FIFA telah memperoleh kebenaran untuk kembali beraksi sementara menunggu keputusan muktamad rayuan di CAS.

Selain Garcés, enam lagi pemain yang terlibat ialah Gabriel Palmero, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, João Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel, yang kini dibenarkan meneruskan karier bola sepak masing-masing dalam tempoh interim berkenaan.