PINGAT perak dunia yang diraih Pearly Tan-M. Thinaah bukan sekadar sejarah buat badminton negara, malah menjadi simbol keberanian untuk wanita Malaysia terus mengejar impian di pentas tertinggi.
Walaupun terpaksa akur di final selepas tewas kepada gandingan nombor satu dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning, dalam aksi penuh drama 14-21, 22-20, 17-21 yang berlangsung selama 83 minit di Arena Adidas, pasangan ranking kedua dunia itu tetap dianggap wirawati negara. Apa yang lebih bermakna, mereka kini bergelar beregu wanita pertama Malaysia yang berjaya membawa pulang pingat perak dari Kejohanan Dunia.
Bagi Thinaah, pencapaian ini bukan hanya tentang mereka berdua, tetapi mesej besar untuk atlet wanita lain agar tidak takut bermimpi besar.

“Memenangi pingat ini adalah satu pencapaian besar dan kami berharap ia dapat membuka mata ramai pihak, terutamanya atlet wanita. Kami mahu mereka percaya bahawa selagi anda bekerja keras dan menikmati setiap proses, tiada apa yang mustahil untuk dicapai,” katanya dengan penuh semangat.
Nada sama turut disuarakan Pearly yang menyifatkan kejayaan ini sebagai bukti bahawa beregu wanita negara mampu berdiri sama tinggi dengan gergasi dunia.
“Tiada sebarang kekesalan kerana kami sudah memberikan segala-galanya. Kami bekerja keras untuk pingat ini dan perjalanan kami masih jauh. Kami tidak akan berhenti di sini dan akan terus berjuang,” ujarnya.
Biarpun hanya berstatus naib juara, pencapaian Pearly-Thinaah jelas melakar sejarah dan memberi inspirasi baharu kepada generasi akan datang – bahawa wanita Malaysia juga mampu menawan dunia dengan semangat, ketekunan dan keberanian yang tidak pernah pudar.