KETUA jurulatih baharu Selangor FC, Katsuhito Kinoshi memberikan bayangan bahawa dia mungkin akan melakukan beberapa perubahan dalam barisan pemain Gergasi Merah menjelang aksi Liga Juara-Juara AFC 2 menentang Muangthong United pada Khamis.
Selangor berpeluang menempah tempat ke pusingan 16 terbaik jika berjaya mencipta kemenangan dan Kinoshi mahu menggunakan tetapan peraturan pertandingan bagi memberikan kelebihan buat pasukan dalam debutnya di Kelana Jaya.
Jurulatih kelahiran Jepun itu juga dapat melihat para pemain Selangor mempunyai kekuatan untuk bermain dan mahu mereka menggunakan kuasa itu untuk mencipta permainan yang menarik dan mencipta kemenangan.

Kinoshi ketika sesi sidang media di Kelana Jaya
“Muangthong adalah pasukan yang baik dan mereka kini tanpa kalah dalam empat perlawanan dan kami perlu bersedia. Mereka mempunyai sistem permainan tetapi kami tidak peduli kerana hanya fokus kepada pasukan sendiri sahaja.
“Sejak memulakan latihan, saya sudah bercakap dengan pemain dan mereka mempunyai ‘power to play’. perkara ini hanya boleh dikawal oleh mereka dan bukan oleh saya atau sesiapa dan saya mahu mereka gunakan perkara ini untuk buktikan kemampuan mereka bagi membantu Selangor pergi lebih jauh.
“Saya boleh katakan mungkin terdapat perubahan dalam barisan pemain tetapi kita perlu lihat terlebih dahulu. Undang-undang membenarkan kita menggunakan kesemua pemain import dan ini baik untuk kami dan mungkin akan ada perubahan kerana kami mahu mendapatkan tiga mata,” katanya dalam sidang media pra perlawanan.

Selangor FC berpeluang layak ke peringkat seterusnya ACL2 jika berjaya meraih keputusan positif
Mantan pembantu jurulatih kebangsaan Serbia itu juga tidak menolak peluang Selangor layak lebih awal ke peringkat kalah mati tetapi mahu pemain bermain sebagai satu pasukan dan menjanjikan penyokong satu perlawanan yang menarik.
“Kami mempunyai peluang untuk layak ke peringkat seterusnya dan lebih baik kami lakukannya dan saya tidak peduli dengan pasukan lawan kerana apa yang penting adalah kami mesti mendapatkan mata dan seterusnya layak, itu sahaja.
“Kami akan bermain dengan cara kami iaitu ‘aggressive football’ dan penyokong boleh menjangkakan satu perlawanan yang menarik esok,” jelasnya.
Selepas empat perlawanan, Selangor kini di tangga kedua dengan tujuh mata hasil dua kemenangan, satu seri dan satu kekalahan dengan sebarang keputusan positif pada Khamis akan membuka peluang layak ke peringkat seterusnya.