Penjaga gol Brazil, Alisson Becker percaya persepsi bahawa Selecao bukan lagi pilihan utama menjelang Piala Dunia 2026 mampu menjadi pemangkin buat pasukannya memburu gelaran dunia keenam.

Menurut pemain berusia 33 tahun itu, situasi yang dihadapi Brazil kali ini tidak jauh berbeza dengan beberapa edisi terdahulu apabila pasukan berkenaan turut diragui sebelum akhirnya mencipta kejayaan di pentas terbesar bola sepak dunia.

Brazil hadir ke kejohanan kali ini dengan misi menamatkan kemarau gelaran yang berlanjutan sejak menjulang trofi dunia pada 2002. Namun, skuad kendalian Carlo Ancelotti tidak diletakkan dalam kelompok pilihan utama apabila perhatian lebih terarah kepada Argentina, Sepanyol, Perancis, England dan Portugal.

Perjalanan Brazil ke Piala Dunia juga tidak begitu lancar selepas mereka hanya menamatkan kempen kelayakan zon Amerika Selatan di kedudukan kelima selain melalui beberapa perubahan di bangku kejurulatihan sebelum pelantikan Ancelotti.

Bagaimanapun, Alisson melihat kehadiran jurulatih berpengalaman dari Itali itu membawa perubahan positif kepada pasukan, terutama dari segi suasana dalam kem dan keyakinan pemain menjelang kejohanan.

Brazil akan memulakan cabaran Kumpulan C menentang Maghribi di Stadium MetLife, dengan perlawanan itu dijangka menjadi antara aksi paling menarik pada peringkat kumpulan membabitkan dua pasukan yang berada dalam kelompok 10 terbaik dunia.

Selepas berdepan Maghribi, Brazil akan meneruskan saingan menentang Haiti sebelum melengkapkan aksi kumpulan bertemu Scotland.

Walaupun muncul juara ketika Piala Dunia 1994 yang berlangsung di Amerika Syarikat, Brazil berdepan kesukaran untuk mengulangi pencapaian itu dalam beberapa edisi kebelakangan ini apabila tersingkir di peringkat suku akhir dalam empat daripada lima penampilan terakhir mereka.

Sumber Gambar: Facebook/Confederação Brasileira de Futebol