France’s forward #11 Michael Olise (R) controls the ball during the international friendly football match between France and North Ireland at the Decathlon Arena – Pierre Mauroy stadium in Villeneuve-d’Ascq, northern France on June 8, 2026, ahead of the 2026 FIFA World Cup football tournament. (Photo by FRANK FIFE/AFP)

Michael Olise mencuri tumpuan apabila meledak hatrik untuk membantu Perancis menewaskan Ireland Utara 3-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa yang juga menjadi perlawanan terakhir Les Bleus sebelum memulakan kempen Piala Dunia 2026.

Kemenangan di laman sendiri itu turut memberi kenangan manis buat Didier Deschamps yang mengendalikan perlawanan terakhirnya di bumi Perancis sebelum skuadnya berlepas ke Amerika Utara bagi menghadapi kejohanan terbesar bola sepak dunia.

Perancis menguasai sebahagian besar permainan sejak awal, namun Ireland Utara hampir mengejutkan tuan rumah menerusi beberapa serangan balas pantas yang menguji barisan pertahanan lawan.

Kylian Mbappe antara pemain yang paling aktif mencipta ancaman, tetapi beberapa peluang yang diperoleh gagal diterjemahkan kepada jaringan.

Kebuntuan akhirnya terlerai menjelang tamat babak pertama apabila rembatan Ousmane Dembele yang terbias jatuh tepat ke laluan Olise sebelum pemain Bayern Munich itu mudah menolak masuk bola untuk meletakkan Perancis di hadapan.

Ireland Utara hampir menyamakan kedudukan pada masa kecederaan separuh masa pertama, namun jaringan yang dihasilkan dibatalkan selepas pengadil mengesan kekasaran dalam gerakan membina serangan.

Selepas rehat, Perancis menggandakan kelebihan hanya beberapa minit permainan bersambung apabila Olise sekali lagi berada di posisi tepat untuk menyambar bola muntah dalam kotak penalti dan menjadikan kedudukan 2-0.

Bagaimanapun, Ireland Utara tidak mengalah dan berjaya merapatkan jurang menerusi Patrick Kelly yang menyempurnakan hantaran Shea Charles untuk menghadiahkan gol kedua negaranya ke atas Perancis dalam sejarah pertemuan kedua-dua pasukan.

Gol itu sedikit menggugat rentak Perancis, namun Olise memastikan kemenangan tidak terlepas apabila melengkapkan hatrik menerusi rembatan lencong menarik dari luar kotak penalti yang gagal diselamatkan penjaga gol lawan.

Jaringan tersebut melengkapkan malam gemilang pemain berusia 24 tahun itu selain memberikan kemenangan selesa buat Perancis menjelang aksi pembukaan Piala Dunia menentang Senegal.

Di sebalik kemenangan itu, Deschamps turut menerima sedikit kebimbangan apabila pertahanan Jules Kounde terpaksa dikeluarkan pada waktu rehat selepas mengalami kecederaan ringan.

Namun secara keseluruhan, persembahan meyakinkan Perancis pastinya meningkatkan keyakinan skuad Les Bleus yang memburu gelaran Piala Dunia ketiga dalam sejarah negara itu.