Portugal’s forward #26 Francisco Conceicao celebrates scoring his team’s second goal during the international friendly football match between Portugal and Nigeria at Magalhaes Pessoa Stadium in Leiria, on June 10, 2026. (Photo by FILIPE AMORIM / AFP)
Portugal menutup aksi pemanas badan terakhir menjelang Piala Dunia 2026 dengan kemenangan 2-1 ke atas Nigeria, namun Cristiano Ronaldo gagal menemui sentuhan penyudah dalam perlawanan yang berlangsung awal pagi tadi.
Skuad kendalian Roberto Martinez bermula positif apabila mendahului menerusi jaringan Pedro Neto pada pertengahan babak pertama hasil gerakan kemas jentera serangan Portugal.
Bagaimanapun, kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Nigeria berjaya menyamakan kedudukan sebelum rehat menerusi Akor Adams, sekali gus memastikan kedua-dua pasukan memasuki bilik persalinan dengan kedudukan terikat.
Selepas babak kedua bermula, Portugal kembali meningkatkan tekanan ke atas benteng lawan dan usaha mereka membuahkan hasil apabila Francisco Conceicao menjaringkan gol kemenangan kira-kira 15 minit sebelum wisel penamat.
Ronaldo yang bakal mencipta rekod dengan penampilan keenam di pentas Piala Dunia turut memperoleh beberapa peluang untuk menambah jaringan, namun gagal memanfaatkannya sepanjang perlawanan.
Martinez turut menggunakan kesempatan itu untuk menguji kombinasi terbaik pasukannya termasuk menurunkan pemain-pemain yang baru tiba selepas tamat tugasan bersama kelab masing-masing.
Kemenangan tersebut memberikan suntikan keyakinan kepada Portugal yang akan berlepas ke Amerika Syarikat untuk menyertai kem latihan terakhir sebelum memulakan cabaran sebenar di Piala Dunia.
Portugal dijadual membuka kempen Kumpulan K menentang Republik Demokratik Congo pada 17 Jun sebelum berdepan Uzbekistan dan Colombia dalam baki aksi peringkat kumpulan.