PIALA Dunia 2026 yang telah berlangsung dari 12 Jun kini semakin hampir melabuhkan tirai apabila tinggal empat pasukan yang masih berjuang merebut gelaran juara dunia.

Ini merupakan 11 pemain terbaik dalam Piala Dunia 2026 pilihan Flash Sukan.

Pemain Switzerland, Gregor Kobel, menjadi pilihan Flash Sukan sebagai penjaga gol terbaik Piala Dunia 2026 selepas mencatat rating 7.73, tertinggi sebagai penjaga gol malah merekodkan statistik Goal Prevented tertinggi sepanjang kejohanan.

Di posisi bek kanan, tonggak La Roja, Pedro Porro, muncul sebagai bek kanan dengan rating tertinggi, 8.10 yang menyaksikan beliau merekodkan tiga perlawanan tanpa bolos selain turut menjaringkan satu gol.

Gandingan Lisandro Martinez dan Dayot Upamecano memperkukuh barisan pasukan terbaik ini selepas Martinez meraih rating 7.88 dengan menyumbang satu gol dan satu bantuan gol sementara Upamecano meraih rating 7.72.

Di posisi bek kiri, Marc Cucurella menjadi pilihan selepas mempamerkan aksi konsisten dengan rating 7.44 selain merekodkan 5 perlawanan tanpa bolos berturut-turut dan menyumbang dua bantuan gol.

Di bahagian tengah, Aurelien Tchouameni menjadi tunggak yang mengawal tempo permainan dengan cemerlang apabila mencatat rating 8.07 dalam kejohanan Piala Dunia 2026.

Beliau digandingkan bersama rakan sepasukannya di Real Madrid, Jude Bellingham, yang mempamerkan prestasi luar biasa dengan rating 8.12, selain menyumbang enam gol dan satu bantuan gol, muncul antara pemain tengah paling berpengaruh di Piala Dunia 2026.

Di posisi pemain tengah menyerang, watak kreatif pasukan digalas Michael Olise selepas mencatat rating 8.03, selain muncul sebagai pendahulu bantuan gol kejohanan dengan lima bantuan gol.

Walaupun sudah bergelar pemain veteran, Lionel Messi masih berbisa apabila mencatat rating 8.73 hasil lapan gol, selain memecahkan rekod sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala Dunia dengan 21 gol dalam kejohanan ini.

Debut di pentas Piala Dunia 2026 tidak menghalang Erling Haaland menempatkan diri sebagai penyerang terbaik dalam skuad ini selepas meledak tujuh gol dalam lima perlawanan, selain mencatat rating 8.24 sepanjang kempen.

Kylian Mbappe melengkapkan skuad ini di sayap kiri selepas mendahului penjaring terbanyak bersama Lionel Messi di Piala Dunia 2026 setakat ini dengan lapan gol dan tiga bantuan gol juga sebagai pemain rating tertinggi 8.87 dalam Piala Dunia ini.