Eksklusif Oleh MOHD FARIQ
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, mengucapkan tahniah kepada Datuk Hamidin Mohd Amin dalam satu temu bual eksklusif dengan FLASH SUKAN sebenar tadi.
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu terpilih menjadi Ahli Majlis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) bagi ahli jawatankuasa eksekutif Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) penggal 2023-2027 pada petang hari ini di Manama, Bahrain.
“Tahniah kepada Datuk Hamidin di atas kejayaan pemilihan sebagai Ahli Majlis Fifa bagi penggal 2023-2027.
“Saya pasti pengalaman baharunya akan memberi kebaikan kepada bola sepak Malaysia,” katanya pada Rabu.
Hamidin meneruskan tradisi wakil Malaysia dalam majlis Fifa yang dahulu dikenali sebagai jawatankuasa eksekutif Fifa yang dimulakan oleh Lim Kee Siong pada 1960, disusuli Tan Sri Hamzah Abu Samah (1972 dan kemudian menjadi Naib Presiden FIFA 1982-90) serta Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustaffa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah (2015-2019).