KEJOHANAN Piala Mitsubishi Electric ASEAN (AMEC) 2024 kini diiktiraf sebagai kejohanan kelas A oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), memberikan dimensi baharu dan lebih prestij kepada persaingan bola sepak Asia Tenggara.
Dengan status ini, perlawanan dalam kejohanan yang berlangsung dari 8 Disember 2024 hingga 5 Januari 2025 akan menyumbang secara langsung kepada ranking dunia FIFA, meletakkannya sebaris dengan kejohanan antarabangsa lain seperti Piala Dunia dan Piala Asia.
Bagi skuad Harimau Malaya, berita ini membuka peluang besar untuk bukan sahaja memburu gelaran juara tetapi juga memperbaiki kedudukan dalam ranking dunia.
Malaysia dijadualkan membuka tirai perlawanan menentang Kemboja pada 8 Disember 2024 di Phnom Penh, dalam usaha meraih mata penting pada kejohanan yang kini lebih kompetitif dan bernilai tinggi.
Menurut kenyataan ASEAN Football, pengiktirafan ini datang dengan piawaian ketat yang ditetapkan FIFA. Setiap pasukan mesti menampilkan skuad senior kebangsaan, manakala pengadil dan penjaga garisan mestilah pegawai rasmi yang disahkan FIFA.
Di samping itu, laporan perlawanan dan senarai pemain juga perlu dihantar kepada FIFA dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), memastikan semua perlawanan dijalankan secara profesional dan selaras dengan peraturan antarabangsa.
Walaupun mata FIFA bagi kejohanan ini sebenarnya telah dikira sejak Piala ASEAN diperkenalkan pada tahun 1996 (ketika dikenali sebagai Piala Tiger), pengiktirafan rasmi sebagai kejohanan kelas A memberi makna lebih besar kepada kejohanan edisi 2024.
Perlawanan ini kini diiktiraf sebagai sebahagian daripada “Perlawanan Antarabangsa FIFA Tahap 1,” menyamainya dengan kejohanan utama lain di peringkat dunia.
Status baharu ini juga menjadi peluang emas buat pasukan Asia Tenggara untuk membuktikan kekuatan bola sepak rantau ini di mata dunia.
Dengan persaingan lebih sengit dan taruhannya lebih tinggi, Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 dijangka menjadi antara kejohanan yang paling menarik dalam sejarah bola sepak Asia Tenggara.
Harimau Malaya, dengan persiapan rapi di bawah bimbingan Pau Marti, kini perlu bersedia sepenuhnya untuk menampilkan aksi terbaik di pentas yang kini diiktiraf.