Liverpool membuat keputusan mengejut apabila menamatkan khidmat pengurus, Arne Slot selepas kempen 2025/2026 yang menyaksikan kelab itu gagal memenuhi sasaran ditetapkan pengurusan.

Pengendali dari Belanda itu meninggalkan Anfield selepas dua musim membimbing The Reds, dengan musim kedua beliau berakhir tanpa sebarang trofi serta menyaksikan Liverpool sekadar menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tangga kelima.

Slot sebelum ini mencipta impak besar apabila berjaya membawa Liverpool muncul juara liga pada musim pertamanya selepas mengambil alih tugas daripada Jurgen Klopp pada 2024.

Namun, prestasi pasukan gagal dikekalkan musim ini apabila mereka tercicir dalam perebutan kejuaraan selain bergelut untuk mengesahkan tiket ke pentas Liga Juara-Juara Eropah.

Dalam kenyataan rasmi, Liverpool menyifatkan keputusan tersebut dibuat selepas pertimbangan teliti walaupun mengiktiraf sumbangan besar Slot sepanjang berada di kelab itu.

Menurut kelab berkenaan, Slot berjaya mengharungi cabaran sukar ketika mengambil alih pasukan dan memainkan peranan penting dalam menghadiahkan kejuaraan liga kepada penyokong.

Bagaimanapun, pihak pengurusan percaya perubahan diperlukan bagi memastikan Liverpool terus bergerak ke hadapan dan kekal kompetitif pada masa depan.

Kelab itu turut menegaskan keputusan berkenaan bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya hasil penilaian menyeluruh terhadap hala tuju pasukan.

Sepanjang berada di Anfield, Slot dianggap berjaya meneruskan legasi Klopp pada musim pertama, namun kegagalan menambah koleksi trofi serta kemerosotan prestasi musim ini akhirnya membawa kepada perpisahan kedua-dua pihak.

Dalam perkembangan sama, Liverpool difahamkan sudah memulakan proses mencari pengurus baharu bagi menghadapi musim depan.

Beberapa laporan media di England menyebut nama pengendali Bournemouth, Andoni Iraola sebagai antara calon utama untuk mengisi kekosongan tersebut selepas kejayaannya membawa kelab itu menamatkan saingan liga dalam kelompok enam terbaik dan layak ke pentas Eropah.

Sumber Gambar: FB Liverpool FC