JURULATIH skuad Sang Kenari, Nafuzi Zain akui masih berbangga dengan aksi yang dilakukan oleh anak buahnya sepanjang 90 minit perlawanan walaupun kekurangan pemain atas padang.

Bagaimanapun, Nafuzi menyifatkan gol kemenangan Selangor tidak harus berlaku jika pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC sentiasa alert dan tidak melakukan kesilapan berulang.

“Kita sentiasa ada peluang. Dari segi performance kita sepatutnya tidak kalah tapi biasalah bola sepak dan kita akan dihukum dengan kesilapan sendiri.

“Saya rasa yang terbaik pada malam ini dari segi tekanan yang diberikan pihak lawan namun pemain kita masih dalam karakter ‘fighting‘ walaupun ketinggalan gol dibelakang,” kata Nafuzi dalam sesi sidang media.

Jelasnya, Kedah FC masih berusaha untuk mencari gol dan berjaya mendahului sebanyak dua kali sekali gus mampu memberikan saingan yang sengit pada pihak lawan, Selangor FC.

Dalam masa yang sama, Kedah FC yang ketika itu hanya tinggal sembilan pemain secara tidak langsung telah memberikan kelebihan kepada Selangor walaupun anak buahnya beraksi dengan baik.

“Saya akui bahagian pertahanan perlu banyak diperbaiki walaupun pasukan bermain dengan baik dan mampu mengawal permainan namun kadang-kadang serangan pihak lawan jadikan peluang gol untuk mereka itu ada.

“Gol terakhir yang diperolehi oleh Selangor sepatutnya tidak berlaku dan itu adalah kesilapan dari pemain Kedah FC sendiri,” tambahnya lagi.

Perlawanan Liga Super 2023 yang berlangsung pada Rabu malam menyaksikan Kedah kalah tipis kepada Selangor dengan jaringan 3-2.

Mengulas lanjut kedudukan Kedah FC yang berada di tempat kelima, Nafuzi menekankan pemain perlu kekal dengan corak permainan dalam memastikan  pasukan konsisten pada kedudukan Top Five.

ARTIKEL BERKAITAN : Aksi berbalas gol, Selangor FC menang ke atas Sang Kenari