PERSEKUTUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) membuat langkah berani, dengan memburu jurulatih wanita dari Thailand sebagai usaha memperkasa skuad wanita negara, sekali gus dijadikan fokus utama perancangan baharu menuju Sukan SEA 2027.

Ketua jurulatih sepak takraw kebangsaan, Ahmad Jais Baharun mendedahkan rundingan sudah dimulakan bagi mendapatkan khidmat jurulatih wanita yang benar-benar bersama pasukan, bukan sekadar perunding, demi pembangunan jangka panjang.

Menurutnya, keputusan itu lahir daripada post-mortem prestasi yang menunjukkan acara kuadran dan pasukan wanita memerlukan lonjakan kualiti yang lebih agresif untuk bersaing di pentas utama.

“Tidak mustahil kita bawa jurulatih wanita dari Thailand dan kita mahu ia dipercepatkan kerana kita tidak mahu membangunkan pasukan dalam tempoh singkat sahaja,” katanya.

Skuad sepak takraw wanita bakal mendapat jurulatih wanita dari Thailand.

Ahmad Jais berkata, kekangan terbesar ketika ini adalah saiz ‘pool’ pemain wanita yang kecil, sekali gus menyukarkan proses penggantian sekiranya berlaku kecederaan.

Dalam masa sama, beliau menjelaskan pasukan kebangsaan akan berehat sehingga 1 Januari sebelum laporan prestasi dibentangkan kepada PSM dan MSN bagi menentukan program 2026 menuju Piala Dunia, Piala Raja Thai dan Sukan Asia.

“Kejayaan pasukan lebih penting daripada pencapaian peribadi dan kita perlu bekerja lebih keras kerana tekanan 2026 akan jauh lebih mencabar,” katanya yang gembira dengan pencapaian skuad lelaki, melakar sejarah menamatkan kemarau emas 34 tahun acara regu berpasukan Sukan SEA di Thailand, baru-baru ini.

Ahmad Jais menegaskan sasaran utama pasukan wanita adalah memperbaiki prestasi di Sukan Asia, sambil berharap kehadiran jurulatih Thailand itu mampu menjadikan skuad negara lebih berdaya saing sebagai tuan rumah Sukan SEA 2027.