ATLET kayak berbakat Siti Nurqasrina Syahzanani Mustapa mencuri tumpuan apabila berjaya memecahkan tiga rekod kebangsaan sekaligus dinobatkan sebagai Olahragawati Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2024.
Meskipun hanya membawa pulang pingat perak dalam kejohanan kali ini, kejayaannya tetap luar biasa dan amat membanggakan.
“Perasaan saya luar daripada jangkaan kerana saya tidak menyangka mampu memecahkan rekod kebangsaan dan meraih gelaran Olahragawati SUKIPT.
“Walaupun saya hanya mendapatkan pingkat perak, ia tetap pencapaian yang sangat saya syukuri,” kata Nurqasrina kepada Flash Sukan.
Perjalanan menuju kejayaan ini tidak mudah, apabila mengimbas cabaran yang dihadapinya, Nurqasrina berkongsi bagaimana dirinya perlu membahagikan masa antara tanggungjawab sebagai seorang pelajar dan atlet.
“Saya tidak dapat berlatih sepenuh masa dengan pasukan saya kerana komitmen akademik, jadi saya perlu mencari masa sendiri untuk memastikan tahap kecergasan saya kekal optimum.
“Jurulatih dan rakan-rakan pasukan adalah sumber inspirasi terbesar bagi saya untuk berjaya kali ini,” tambahnya
Ketika ditanya mengenai perancangannya di masa hadapan, dia menyatakan hasratnya untuk meneruskan momentum ini dan mencapai lebih banyak kejayaan.
“Ini hanyalah permulaan bagi saya, jadi saya berazam untuk mencipta lebih banyak kejayaan yang lebih tinggi pada masa akan datang,” ujarnya dengan penuh keyakinan.
Terdahulu, pasukan kayak UiTM turut diraikan di Majlis Penyerahan Insentif Kemenangan SUKIPT 2024, di mana mereka menerima insentif sebanyak RM650 atas usaha gigih mereka dalam kejohanan tersebut.
Kejayaan ini bukan sahaja menjadi motivasi, tetapi juga penghargaan kepada usaha keras atlet muda dalam mengharumkan nama institusi masing-masing.