PELARI pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi menepati status sebagai antara atlet terpantas Asia apabila muncul juara acara 100 meter (m) pada Kejohanan Olahraga Bawah 23 Tahun Asia 2026 di Ordos, China.
Azeem mempamerkan larian bertenaga dalam aksi final untuk melintasi garisan penamat dengan catatan 10.17 saat (s), sekali gus menghadiahkan pingat emas buat kontinjen Malaysia.
Pingat perak dimenangi pelari Iraq, Falah Hasan Al-Khazaali yang mencatat masa 10.21s, manakala wakil Qatar, Salah Nur I A Yunis meraih gangsa selepas menamatkan perlumbaan dengan catatan 10.23s.

Kejayaan itu melengkapkan misi atlet berusia 22 tahun berkenaan yang sebelum kejohanan menyasarkan untuk membawa pulang pingat emas, selain mahu mengubah mentaliti daripada sekadar memburu catatan masa kepada memburu kemenangan di pentas antarabangsa.
Sebelum melangkah ke final, Azeem terlebih dahulu mempamerkan prestasi meyakinkan apabila muncul antara pelari terpantas separuh akhir dengan catatan 10.15s, sekali gus mengesahkan tempat dalam kelompok lapan terbaik.
Catatan 10.17s pada perlumbaan akhir turut mengukuhkan prestasi konsistennya sepanjang musim selepas sebelum ini menjuarai Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2026 menerusi masa 10.21s.
Lebih manis, kejayaan di Ordos hadir ketika Azeem sedang meningkatkan persiapan menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun pada September depan, yang menjadi sasaran utama beliau musim ini.
Pingat emas tersebut turut mengukuhkan reputasi pemegang rekod kebangsaan itu sebagai sandaran utama Malaysia dalam acara pecut, selain memberi petanda positif menjelang temasya sukan terbesar Asia itu.
Kredit Gambar: FB Olahraga Malaysia