JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mendedahkan faktor utama yang mendorong Pengarah Teknikal Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM), John Beasley untuk meninggalkan Malaysia selepas tamat Sukan Asia 2026.
Menurut Azizulhasni, jurulatih berpengalaman dari Australia itu semakin tawar hati susulan pelbagai isu dalaman dan unsur politik yang didakwa terus mengganggu persiapan skuad berbasikal negara menjelang kejohanan besar.
Sebelum ini, Beasley mengejutkan arena berbasikal tempatan apabila menyatakan hasrat untuk meninggalkan jawatannya walaupun kontraknya masih berbaki sehingga Januari tahun depan.
Azizulhasni berkata, perkara itu disahkan sendiri oleh Beasley ketika pertemuan mereka baru-baru ini, dan situasi berkenaan amat mengecewakan terutama ketika skuad negara sedang giat membuat persiapan menghadapi dua kejohanan utama iaitu Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2026.
“Ya, bukan satu kali bukan dua tetapi berkali-kali bila kita dalam persiapan untuk kejohanan besar, akan ada orang buat pelbagai isu.
“Kalau semua orang ini memang ambil berat tentang sukan negara, mereka tak akan buat perkara-perkara sebegini pada waktu dan ketika sebegini,” katanya.
Menurut Azizulhasni, kemelut yang berlaku bukan sahaja menjejaskan fokus pasukan, malah turut mencalarkan imej sukan negara di mata dunia kerana isu tersebut sudah diketahui di peringkat antarabangsa.
Beliau menegaskan sekiranya ada pihak yang berasakan sudah tiba masa untuk menamatkan khidmat Beasley, perkara itu sepatutnya dibincangkan secara profesional dan penuh hormat.
“Kalau betul kamu semua ini tak suka beliau dan anda semua rasa sudah masa untuk dia ditukarkan, itu sebenarnya tidak ada masalah pun.
“Panggil duduk berbincang elok-elok dan lepaskan secara baik.
“Beliau sendiri pun tidak kisah pun sebenarnya dan beliau sendiri percaya yang suatu masa nanti akan sampai ketikanya,” katanya.
Azizulhasni turut meluahkan kekecewaan terhadap cara isu tersebut dikendalikan dan menyifatkan tindakan tertentu sebagai sesuatu yang tidak mencerminkan nilai hormat serta profesionalisme.
Katanya, masalah politik dalaman yang berpanjangan dalam arena sukan negara hanya akan menyukarkan usaha melahirkan lebih ramai atlet bertaraf dunia pada masa depan.
Situasi membabitkan Beasley kini menimbulkan persoalan mengenai hala tuju skuad berbasikal trek negara ketika mereka sedang memburu kejayaan di pentas antarabangsa.