Kredit Gambar: Thomas Coex/AFP

Penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois mengakui tugas mengekang Lamine Yamal bakal menjadi antara faktor utama yang menentukan peluang pasukannya menewaskan Sepanyol pada aksi suku akhir Piala Dunia 2026.

Menurut Courtois, pemain muda sensasi berusia 18 tahun itu memiliki kualiti luar biasa dan mampu mengubah keputusan perlawanan pada bila-bila masa, justeru Belgium perlu memastikan Yamal tidak diberikan ruang untuk mempamerkan kreativiti.

“Lamine seorang bintang. Dia memiliki bakat luar biasa, sangat pantas dan amat sukar dihentikan. Pendekatan terbaik ialah berada rapat dengannya dan cuba mewujudkan situasi dua lawan satu apabila ada peluang,” katanya.

Bagaimanapun, penjaga gol Real Madrid itu mengingatkan rakan sepasukannya supaya tidak terlalu memberi tumpuan kepada Yamal kerana Sepanyol mempunyai ramai pemain berkualiti yang mampu mencipta ancaman.

“Kami tidak boleh hanya memikirkan Lamine kerana Sepanyol mempunyai begitu banyak kekuatan. Jika anda hanya cuba menghentikan seorang pemain, mereka akan menghukum anda di bahagian lain,” katanya.

Courtois turut menganggap skuad bimbingan Luis de la Fuente sebagai antara pencabar utama kejuaraan berdasarkan prestasi konsisten yang dipamerkan sepanjang kejohanan.

“Sepanyol memang pasukan pilihan. Sebagai juara Eropah, mereka sememangnya antara calon utama. Sebelum kejohanan bermula, saya melihat Sepanyol, Argentina dan Perancis sebagai pasukan yang mampu pergi jauh dan mereka sedang membuktikannya,” katanya.

Beliau turut memuji disiplin pertahanan Sepanyol yang masih belum dibolosi sepanjang kempen Piala Dunia kali ini, selain menyifatkan penjaga gol Unai Simon sebagai antara tonggak penting di sebalik rekod cemerlang tersebut.

“Mereka mengawal tempo permainan dengan baik, bertahan menggunakan garisan tinggi dan pantas merampas semula bola. Kami perlu bijak mencari ruang di belakang pertahanan mereka kerana corak permainan kami berbeza,” jelasnya.

Aksi suku akhir itu turut membawa makna tersendiri buat Courtois yang pernah mewakili Atletico Madrid sebelum mencipta nama bersama Real Madrid, sekali gus cukup mengenali corak permainan bola sepak Sepanyol.

Belgium kini mengintai peluang mencipta kejutan ke atas antara pasukan pilihan kejohanan itu bagi mengesahkan tempat ke separuh akhir Piala Dunia 2026.