RATU wushu negara, Tan Cheong Min menutup kempen cemerlang Malaysia di Piala Dunia Taolu 2026 dengan menghadiahkan pingat emas acara duilian wanita bersama gandingannya, Pang Pui Yee dan Lee Jia Rong di Haikou, China.
Trio negara mempamerkan persembahan mantap untuk mengumpul 9.660 mata, sekali gus muncul juara dan menyumbang pingat emas ketiga buat kontinjen Malaysia pada kejohanan itu.
Italy turut mencatat 9.660 mata, namun terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas dibezakan menerusi tahap kesukaran rutin yang lebih rendah. Hong Kong pula membawa pulang gangsa dengan kutipan 9.653 mata.
Kejayaan itu turut melengkapkan kempen cemerlang Cheong Min dan Jia Rong yang masing-masing meraih dua pingat emas sepanjang kejohanan.
Sebelum itu, Cheong Min berjaya mempertahankan gelaran acara nangun, manakala Jia Rong muncul juara dalam acara daoshu untuk menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia pada edisi kali ini.
Cheong Min turut menambah koleksi pingatnya apabila meraih gangsa dalam acara nandao wanita selepas mengumpul 9.220 mata. Pingat emas dimenangi wakil China dengan 9.783 mata, manakala atlet Macau meraih perak menerusi catatan 9.446 mata.
Secara keseluruhan, Malaysia menamatkan saingan di tangga ketiga keseluruhan dengan kutipan tiga pingat emas, satu perak dan satu gangsa.
China mengungguli carta pungutan pingat selepas menyapu bersih lapan pingat emas, manakala Hong Kong menduduki tempat kedua dengan lima emas, dua perak dan dua gangsa.
Prestasi cemerlang di Haikou itu menjadi suntikan keyakinan buat skuad negara, khususnya Cheong Min yang kini mengalihkan fokus kepada persiapan menghadapi Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun.