SELURUH tumpuan akan terarah kepada kota Phnom Penh apabila Upacara Pembukaan Rasmi Sukan SEA ke-32 akan berlangsung pada Jumaat.

Seramai lebih 11,000 delegasi atlet, jurulatih dan pegawai pasukan daripada 11 negara termasuk tuan rumah, akan membanjiri Stadium Morodok Techo, pada acara yang ditunggu-tunggu seluruh peminat sukan di rantau Asia Tenggara.

Antara topik yang bakal menjadi fokus adalah busana yang akan digunakan setiap kontinjen yang menyertai perbarisan masuk pada upacara berkenaan.

Stadium Morodok Techo menjadi venue perasmian rasmi Upacara Pembukaan Sukan sea Kemboja 2023.

Ketua Kontinjen (CDM) Sukan Sea negara, Datuk Mohd Nasir Ali berkata, kontinjen negara akan mengenakan busana ringkas yang menonjolkan kebudayaan Malaysia bersesuaian dengan mengambil kira cuaca panas di Kemboja Ketika ini.

“Kita sudah mengkaji acara ini berlangsung dalam cuaca yang panas justeru, kita memutuskan untuk memakai busana bermotifkan batik lengan Panjang.

“Corak batik yang ada pada busana ini bercirikan batik Malaysia dengan bertemakan warna bendera kita.

“Apa yang penting, ia selesa dipakai, elegan dan ceria,” kata Mohd Nasir.

Busana kemeja bercorakkan belang harimau digayakan kontinjen negara pada Temasya Sukan Sea Hanoi, 2021.

Busana kemeja bercorakkan belang harimau digayakan kontinjen negara pada Temasya Sukan Sea Filipina, 2019.

Menurutnya, kali ini rekaan busana tidak membabitkan pereka khas dan terkenal, malah hanya mengambil kira idea yang dikongsi pelbagai pihak.

Perarakan masuk kontinjen negara akan diketuai karateka negara, R Shamendran yang diberi tanggungjawab sebagai pembawa Jalur Gemilang.

Pada temasya 2021 di Hanoi, kontinjen negara mengenakan busana kemeja bercorak belang harimau manakala pada 2019 di Filipina, menggunakan pakaian tradisional baju Melayu dan baju kurung putih dengan sampin dan selendang merah.

Busana kemeja bercorakkan belang harimau digayakan kontinjen negara pada Temasya Sukan Sea Kuala Lumpur, 2017.

Busana kemeja bercorakkan belang harimau digayakan kontinjen negara pada Temasya Sukan Sea Singapura, 2015

Ketika menjadi tuan rumah di Kuala Lumpur 2017, kontinjen negara mengenakan busana baju Melayu dan kurung berwarna merah biru sementara di Singapura 2015, berbaju Melayu dan kurung berwarna oren.

Kali ini, kontinjen negara dibarisi seramai 928 orang terdiri daripada 677 atlet dan 251 pegawai.

Daripada 677 atlet itu, 402 adalah atlet lelaki, 275 wanita dan skuad olahraga membariskan atlet paling ramai iaitu 65 orang.