KECEDERAAN yang dialami oleh pemain perseorangan negara, Ng Tze Yong diakui sedang berada di tahap yang serius.

Perkara ini telah disahkan sendiri oleh Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria selepas Mesyuarat Eksekutif Olimpik dijalankan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Menurut Norza, kecederaan tulang belakang yang dihadapi oleh pemain yang sedang memburu mata untuk layak ke Olimpik Paris 2024 ini tidak boleh dipandang remeh tambahan pihaknya sentiasa meletakkan kebajikan atlet melebihi perkara lain.

Dalam masa yang sama, beliau juga menegaskan bahawa status Tze Yong dalam memperjuangkan haknya ke Olimpik masih perlu dikaji dengan lebih terperinci kerana tidak mahu memaksa keadaan pemain berusia 24 tahun itu.

Tze Yong mengalami kecederaan tulang belakang sejak di Kejohanan Terbuka Malaysia pada Januari.

“Kita sedia maklum, Ng Tze Yong mengalami kecederaan agak serius. Namun, kita meletakkan kepentingan kesihatan dia lebih tinggi daripada kejohanan mahupun kelayakan Olimpik.

“Kita berharap agar kita dapat melaksanakan yang terbaik buat Tze Yong dan seperti kalian tahu, kita di BAM sentiasa meletakkan kebajikan atlet itu melebihi perkara-perkara yang lain.

“Saya berharap dengan adanya bantuan dan sokongan dari pihak Institut Sukan Negara (ISN), dan dari segi perancangan kejurulatihan, mereka mampu merencanakan satu rawatan terbaik juga melihat kejohanan yan boleh Tze Yong sertai,” ujar Norza di ABM pada Sabtu.

Sementara itu, Norza turut memberi kenyataan mengenai kedudukan dua olimpian negara Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri dalam program Road to Gold (RTG) yang akan diputuskan selepas mesyuarat yang akan berlangsung pasa Khamis hadapan.

Pandelela dan Dhabitah masing-masing tidak layak ke Olimpik Paris 2024.

“Kita bakal adakan mesyuarat pada minggu hadapan (Khamis) tentang perkara ini. Kita akan nantikan laporan penuh daripada Penyelaras program RTG, Datuk Stuart Ramalingam dan daripada situ, kita akan nilai serta lakukan keputusan secara kolektif,” ujar belia.

Pandelela dan Dhabitah masing-masing gagal menempatkan diri ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024 selepas aksi yang tidak memberangsangkan di Kejohanan Akuatik Dunia, Doha tempoh hari.

Perkara itu sekali gus menggugat kedudukan mereka dalam program RTG .