MENJELANG bulan Ramadan yang bakal tiba serta meniti persiapan terakhir Sukan SEA Kemboja, perseorangan badminton muda wanita negara, Siti Nurshuhaini Azman menyatakan tiada sebarang kelonggaran diberikan kerana latihan tetap berjalan seperti biasa dengan intensiti yang sama.
Jelasnya, dia akan tetap bertahan dari segi fizikal dan mental bagi menjalani sesi latihan pada bulan Ramadan ini.
“Untuk bulan puasa mahu tak mahu kena tahan sahajalah dalam latihan untuk kekalkan prestasi menjelang Sukan SEA. Tidak ada pengecualian, lepas sahur dan subuh, terus berlatih macam biasa,” ujarnya kepada media.
Norshuhaini, 18, memberitahu, latihan berterusan ini penting baginya untuk mencapai misi di Kemboja Mei ini.
“Kalau macam tahun lepas (Sukan SEA Hanoi), untuk individu, saya hanya di pusingan ke-16 tetapi kali ini saya cuba untuk dapatkan separuh akhir sebab saya dah tahu situasi bagaimana bermain di pentas Sukan SEA,” jelasnya.
Biarpun kurang menyertai kejohanan berikutan mata ranking yang masih belum mencukupi, Norshuhaini tetap optimis untuk mendapatkan semula ‘feeling’ seperti berada dalam setiap kejohanan besar.
Menurutnya, dia akan cuba mengutip mata ranking menerusi beberapa siri kejohanan kecil sebelum berfikir untuk mengorak langkah lebih jauh menyertai kejohanan lebih besar.
“Saya memang hendak naikkan ranking tetapi tidak ada rezeki untuk masuk kejohanan besar. Jadi saya cuba untuk masuk kejohanan kecil-kecil dulu untuk dapatkan mata,” katanya.