JAGUH beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei bakal menerima Pingat Pekerti Terpilih (PPT) sempena ulang tahun ke-69 keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Penganugerahan berprestij itu sebagai pengiktirafan atas kejayaan gemilang mereka menjulang kejuaraan dunia BWF di Paris, Ogos lalu yang mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
Menurut Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral (B) Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin, penganugerahan itu turut membuktikan jasa dan sumbangan atlet sukan turut diiktiraf istana Perak.

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei kini menghuni ranking ketiga dunia.
Beliau berkata, istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat negeri Perak akan berlangsung pada 9 dan 15 November di Balairong Seri, Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
Seramai 238 individu akan menerima pelbagai darjah kebesaran tahun ini termasuk Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar yang mengetuai senarai penerima.
Sementara itu, Ee Wei yang ditemui mengesahkan, dia dan Tang Jie bakal menerima pingat itu, minggu hadapan.