PENANTIAN panjang namun berbaloi untuk dinantikan. Begitulah gambaran kegembiraan Chen Keat Siew, ibu kepada Chen Tang Jie selepas anaknya muncul juara dunia beregu campuran bersama gandingan, Toh Ee Wei.

Namun beliau tidak mahu kemasyhuran anaknya terhenti dengan satu kejuaraan.

“Saya nak Tang Jie reset semula, berlatih lebih kuat,” tegas Keat Siew, 53, menantikan kepulangan juara dunia itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Chen Keat Siew sentiasa memberi sokongan kepada Chen Tang Joe untuk sentiasa berusaha mengejar impian.

Menurut Keat Siew, kejayaan itu adalah detik yang sudah lama ditunggu sejak anaknya mula menceburi sukan badminton.

“Memang sudah lama tunggulah, sejak dia join badminton kami harap anak kita bersinar, dan hari ini saya sangat happy dan excited,” katanya.

Beliau yang menonton kemenangan itu di televisyen mengakui hanya sempat menghantar mesej tahniah kerana Tang Jie.

“Saya tak dapat describe dia happy macam mana, tapi saya cakap pada dia jangan leka, dah menang world championship, kena training kuat lagi,” jelasnya.

Katanya, setiap kali selepas tamat kejohanan, Tang Jie perlu kembali bermula dari kosong kerana disiplin itu penting untuk pergi lebih jauh.

“Saya nak dia capai kejayaan di Olimpik, sebab itu karaktor dia kalau apa dia mahu memang dia akan kejar, dia kerja keras, dulu masa belajar kalah sikit pun dia boleh menangis,” ujar Keat Siew.