Kredit Gambar: CARL DE SOUZA/AFP
Bola sepak Afrika Selatan diselubungi suasana pilu selepas pemain tengah kebangsaan, Jayden Adams, disahkan meninggal dunia pada usia 25 tahun, hari ini.
Berita pemergian pemain itu disahkan Menteri Sukan Afrika Selatan, Gayton McKenzie yang menyifatkan Adams sebagai antara bakat muda terbaik pernah dimiliki negara itu.
“Dengan penuh rasa terkejut dan dukacita saya menerima berita pemergian Jayden Adams. Bola sepak Afrika Selatan kehilangan antara bakat muda paling menyerlah,” katanya dalam satu kenyataan.
Setakat ini, punca kematian pemain itu masih belum didedahkan kepada umum.
Dalam perkembangan sama, Polis Western Cape memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan selepas mayat seorang lelaki berusia 25 tahun ditemukan di sebuah kediaman di Schotschekloof, pinggir Cape Town, pada pagi tadi.
“Keadaan yang membawa kepada kejadian ini masih dalam siasatan,” kata jurucakap polis, FC van Wyk.
Adams merupakan sebahagian daripada skuad Afrika Selatan di Piala Dunia 2026 dan beraksi dalam ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan sebelum tidak diturunkan pada aksi pusingan 16 terbaik yang menyaksikan pasukannya tewas kepada Kanada.
Pemain kelahiran Cape Town itu memulakan karier profesional bersama Stellenbosch FC sebelum menyertai gergasi Afrika Selatan, Mamelodi Sundowns, pada Januari 2025, di mana beliau terus mengukuhkan reputasinya sebagai antara pemain tengah paling berbakat negara.
Pemergian Adams turut menyentuh hati ramai peminat bola sepak memandangkan beliau baru sahaja melalui detik sukar apabila kehilangan neneknya sehari sebelum aksi pembukaan Afrika Selatan pada Piala Dunia 2026 menentang Republik Czech.
Kehilangan mengejut pemain muda itu disifatkan sebagai tamparan besar buat bola sepak Afrika Selatan yang baru sahaja menyaksikan Adams mula menyerlah di pentas antarabangsa.